Home Nasional Mereka adalah keluarga kami selama-lamanya – Pengasas RPWP

Mereka adalah keluarga kami selama-lamanya – Pengasas RPWP

KAJANG – Kisah kanak-kanak terabai akibat kehilangan ibu bapa ataupun terjebak dalamm gejala sosial sehingga menjadi gelandangan saban hari memenuhi dada-dada akhbar dan media sosial khususnya menjelang hari raya sememangnya cukup meruntun jiwa.
Penubuhan rumah kebajikan dan perlindungan anak yatim serta anak-anak bermasalah ini salah satu jalan penyelesaian bagi menyelamatkan mereka daripada terus tersisih dan terabai daripada kalangan masyarakat.
Bagaimanapun rumah kebajikan yang dibangunkan bersama jutawan fotografi Mohamad Saiful Nang, 38, yang dikenali sebagai Rumah Pengasih Warga Perihatin (RPWP) sangat berbeza dengan mana-mana rumah anak yatim yang ada di negara ini.
Pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin, Bangi, Mohamad Saiful Nang, 38 tahun. foto SAFWAN MANSOR, 13 JUN 2017
Pengasas bersama RPWP sehingga 20 orang itu mempunyai kaedah sendiri untuk membantu insan-insan kurang bernasib baik, sama ada anak yatim mahupun keluarga asnaf yang memerlukan bantuan.
RPWP beroperasi pada 2005 dan mula didaftarkan secara rasmi pada 2012 oleh Dr Masjuki Mohd Musuri bersama 18 pengasas lain beroperasi 100 peratus atas usaha sukarelawan yang memberi komitmen 365 hari setahun, tanpa cuti dan tanpa bayaran.
“Asalnya kita lihat banyak yang berlaku kebejatan akhlak dan ini terjadi oleh sistem kehidupan sudah lari daripada pelaksanaan al-Quran yang sebenar. Ramai belajar al-Quran hanya sekadar bacaan, namun masih kurang melaksanakan ajarannya.
“Di situ timbul kesedaran bagaimana 20 orang pengasas ini sama-sama mengembleng tenaga dan menyerahkan segalanya untuk membangunkan komuniti RPWP,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.
Penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin, Muhd Zulfadli M. Ariffin Lee (kanan) membuat kerja-kerja besi di bengkel Rumah Pengasih Warga Prihatin, Bangi. foto SAFWAN MANSOR, 13 JUN 2017
Menurut Saiful, pada mulanya RPWP diasaskan daripada 20 keluarga yang digabungkan menjadi keluarga besardalam kalangan profesional, hinggalah golongan asnaf fakir dan miskin hingga ke hari ini.
“Apabila kita beroperasi dua hingga tiga tahun selepas itu, kesan pelaksanaan al-Quran itu dalam pembentukan akhlak anak-anak kami dalam kalangan 20 keluarga pengasas bersama menampakkan satu perubahan yang sangat besar dan ketara.
“Perubahan ini diakui oleh sekolah-sekolah luar sana malah menjadi rujukan untuk menghantar anak-anak yatim lain,” jelasnya.
Penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin, Mohamad Shaiful Zainul, 24 tahun dan isteri, Nur Izazi Johari, 15 tahun antara sembilan pasangan yang dikahwinkan oleh pengurusan Rumah Pengasih Warga Prihatin, Bangi. foto SAFWAN MANSOR, 13 JUN 2017
Saiful juga berkata, uniknya RPWP ialah sesiapa yang bernaung di bawahnya akan menjadi salah satu ahli keluarga mereka walaupun usia melangkaui 18 tahun dan boleh menetap hingga akhir hayat.
“Kita juga akan kahwinkan mereka, anak-anak mereka pula akan menjadi cucu kita bersama dan kaedah sangat jarang ditemui dilaksanakan secara berkelompok di negara ini,” katanya.
Selain membangunkan komuniti berkelompok, RPWP turut membangunkan sistem pendidikan sendiri yang berasaskan pendidikan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
“Kita asah pemikiran anak-anak ini berasaskan kepada pembelajaran penyelesaian masalah. Hasilnya kita boleh nampak daripada anak-anak kita seawal umur 13 tahun.
“Mereka telah terlibat dalam pengurusan hotel berkonsepkan kontena, kompleks kemahiran dan perniagaan kami di Sungai Ramal Dalam, Kajang,” ujarnya.
Pengasas Penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin, Bangi, Mohd Nazir Nasir, 41 tahun. foto SAFWAN MANSOR, 13 JUN 2017
Seorang lagi pengasas bersama RPWP, Mohd Nazir Nasir, 41 berkata, RPWP menjalankan operasi tanpa sebarang gerakan meminta-minta derma secara mendesak dari hari pertama hingga kini.
Katanya, RPWP mengamalkan konsep mandiri dalam pendanaan iaitu melalui sumbangan atau infaq bulanan daripada semua pengasas yang berpendapatan.
“Apabila kapasiti penghuni dan keperluan ruang lantai bertambah, RPWP akan usahakan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung keperluan pendanaan buat saraan anak-anak dan kerja-kerja pembangunan kompleks ini,” ulasnya.
Penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin, Afiq Afandi Muhammad dilihat keluar dari bilik kontena untuk meneruskan aktiviti di bengkel Rumah Pengasih Warga Prihatin, Bangi. foto SAFWAN MANSOR, 13 JUN 2017
Menurut Mohd Nazri, sebagai langkah awal, pengasas utama iaitu Dr Masjuki selaku bekas usahawan dan isterinya telah mewakafkan diri untuk menjadi petugas sukarela sepenuh masa.
“Beliau juga mewakafkan seluruh wang simpanan dan harta keluarga termasuk dua pasar mini, sebuah restoran, tanah seluas suku ekar serta tiga buah rumah di atasnya termasuk banglo kediaman peribadinya sendiri,” katanya.
Katanya lagi, pengasas-pengasas bersama lain pula menjadi sukarelawan sepenuh masa dan kini berstatus asnaf sabil yang menyumbang melalui penjimatan belanja kerana semuanya bekerja tanpa gaji.
“Kami bertanggungjawab menguruskan kebajikan anak-anak sepanjang hari serta bekerja setiap hari membina rumah secara berperingkat-peringkat dan melakukan perniagaan kecil-kecilan untuk menambah tabung RPWP,” jelasnya.
Penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin, Bangi, Afiq Afandi Muhammad, 12 tahun. foto SAFWAN MANSOR, 13 JUN 2017
Penghuni RPWP, Afiq Afandi Muhammad, 12, dari Sabah berkata pada usia muda dia sudah dilatih dan mahir untuk melakukan kerja-kerja mengecat bangunan dan kontena terpakai di kompleks rumah kebajikan itu.
“Kalau kita nak buat kedai nanti senang sebab boleh cat sendiri, mahupun ambil upah kerja-kerja mengecat.
“Sebelum masuk ke sini, saya tidak pernah terfikir untuk belajar ilmu kemahiran mengecat ini dan tahu hala tuju hidup,” katanya.
Bagi Muhammad Hafizul Hakim Jamaludin, 13, berasal dari Terengganu pula berkata dia kini enggan pulang ke tempat asalnya kerana suasana dalam komuniti RPWP sangat menyeronokan dengan pelbagai aktiviti kemahiran hidup.
Penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin, Bangi, Muhammad Hafizul Hakim Jamaludin, 13 tahun. foto SAFWAN MANSOR, 13 JUN 2017
“Saya tertarik dengan RPWP sebab ia berbeza dari rumah anak yatim lain, di sini banyak jentera, boleh buat pelbagai kerja, saya tak rasa beban sebab boleh belajar dan kerja ikut minat masing-masing.
“Saya suka bahagaian bengkel, bila kita minat sesuatu bidang itu, kita akan buat dengan sepenuh ikhlas dan boleh nampak hasilnya,” katanya.
Menurut Muhd Zulfadli M. Ariffin Leh, 16, dari Johor, dia menyertai komuniti RPWP disebabkan masalah akhlaknya dan mencari-cari tempat yang sesuai untuk membimbingnya kembali ke pangkal jalan.
Penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin, Bangi, Muhd Zulfadli M. Ariffin Lee, 16 tahun. foto SAFWAN MANSOR, 13 JUN 2017
“Kakak saya yang masukkan saya ke sini, dan di sini akhlak saya lebih terjaga kerana pendekatan di sini lebih kepada konsep kasih sayang, tegur-menegur dalam komuniti di sini, pengasas kita panggil ayah dan ibu manakala kawan-kawan lain dianggap sebagai adik-beradik.
“Walaupun kita dah pandai (kemahiran), tapi saya masih anggap masih belajar lagi, saya tak rasa nak bekerja di luar sebab di sini pun kami ada perniagaan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Shaiful Zainur, 24, dari Kelantan pula merupakan salah seorang warga RPWP yang telah dijodohkan dengan salah seorang anak pengasas rumah kebajikan tersebut.
Penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin, Bangi, Mohamad Shaiful Zainul, 24 tahun. foto SAFWAN MANSOR, 13 JUN 2017
Atas faktor ibunya yang menetap di situ telah mendorong dia untuk menyertai komuniti tersebut kerana kesedaran mahu berubah daripada perlakuan jenayah lampau ketika menetap di tempat kelahirannya sebelum ini.
“Di kampung ikut saya sendiri, ikut kawan dan tiada jalan betul, tapi di sini saya boleh macam-macam kerja, kalau saya buat salah, ada orang tegur, di sana tiada orang nak tegur (buat silap), ada pembentukan akhlak, solat terjaga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette