Home Nasional Polis trafik pandu lawan arus, di bawah pengaruh alkohol ditahan

Polis trafik pandu lawan arus, di bawah pengaruh alkohol ditahan

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis trafik ditahan kerana memandu secara berbahaya dengan melawan arus selain disyaki berada di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian pada 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ia susulan pihaknya menerima satu rakaman video berkaitan sebuah kereta yang dipandu secara berbahaya menyongsang arus di Jalan Lingkaran Dalam di sini.

Katanya, bertindak atas makluman sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor Bahru Selatan telah berjaya menahan pemandu berkenaan yang merupakan anggota polis lelaki berumur 25 tahun di sebuah stesen minyak.

“Hasil siasatan kita dapati anggota polis terbabit dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ini tidak bertugas ketika kejadian dan menggunakan kenderaan persendirian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak lebih daripada RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayob Khan berkata bagi kesalahan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula, denda tidak lebih RM30,000 dan penjara dua tahun serta hilang kelayakan memandu tidak kurang dua tahun boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Jelasnya lagi, polis Johor juga akan memastikan bahawa siasatan dijalankan dengan telus dan suspek akan dituduh di mahkamah.

“Polis Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada pegawai dan anggotanya yang melanggar undang-undang,” katanya.

— BERNAMA