Home Utama Tarif elektrik kekal, kerajaan beri rebat 2 sen

Tarif elektrik kekal, kerajaan beri rebat 2 sen

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menunjukkan menunjukkan purata tarif elektrik asas Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekal bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2021 di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 23 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk mengekalkan purata tarif asas Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada kadar 39.45 sen/kWj bagi tahun 2021 dan memberi rebat sebanyak 2 sen/kWj kepada semua pemilik akaun TNB bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2021.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, rebat yang pertama kali dinikmati sejak Julai tahun 2018 ini akan dinikmati oleh semua pengguna elektrik TNB, domestik dan bukan domestik.

“Langkah ini diambil berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh Regulatori Kedua TNB di bawah mekanisme Incentive Based Regulation (IBR) sehingga 31 Disember 2021,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Shamsul Anuar berkata, kerajaan turut bersetuju untuk melepaskan penjimatan kos bahan api kepada semua pengguna TNB berikutan penurunan harga bahan api arang batu dan gas pada separuh kedua 2020 selaras dengan pelaksanaan mekanisme Imbalance Cost Pass Through (ICPT) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2021.

Ujarnya, dengan pemberian rebat sebanyak 2 sen/kWj itu, seramai 7.5 juta pengguna domestik akan mengalami penurunan bil elektrik di antara 3.6 peratus hingga 9.2 peratus.

Pengguna komersial pula katanya, akan mengalami penurunan bil elektrik di antara 4.0 peratus hingga 5.2 peratus manakala, bil elektrik bagi pengguna industri pula akan menurun di antara 4.6 peratus hingga 6.1 peratus.

“Kerajaaan berharap agar pemberian rebat ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta menurunkan kos menjalankan perniagaan yang terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19,” ujarnya.

Pada Jun lepas, kadar tarif elektrik bagi pengguna domestik dan bukan domestik kekal tanpa sebarang surcaj bagi tempoh 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2020.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tenaga, kerajaan memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan mekanisme ICPT bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2020.

Justeru, kadar surcaj sebanyak 2 sen/kilowatt-jam (kWj) diturunkan kepada 0 sen/kWj untuk pengguna bukan domestik, iaitu pengguna komersial dan industri. – MalaysiaGazette