KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar bermula esok sehingga 6 Januari tahun depan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di PPA Muar yang kini dijadikan sebagai Pusat Transit Penerimaan Banduan sejak bulan lepas bertujuan memudahkan saringan menyeluruh semua kontak rapat kes positif yang melibatkan 773 tahanan dan 127 kakitangan.
“SOP (prosedur operasi standard) PKPD di pusat tahanan ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini, antaranya tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 726 ujian saringan dan sebanyak 20 kes positif COVID-19 direkodkan dalam kalangan tahanan.
Katanya, berdasarkan penilaian risiko, KKM mendapati risiko dan kadar kebolehjangkitan dalam kalangan Orang Kena Tahan adalah tinggi. – Bernama