PUTRAJAYA – Sebanyak 1,348 kes positif Covid-19 baharu direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh 24 jam hingga jam 12 tengahari.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Hisham Abdullah, berikutan itu jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 98,737 kes.
Jelasnya, sebanyak 710 kes sembuh untuk tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh meningkat kepada 80,014 kes.
Jelkas beliau, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula ialah 18,279 kes dengan 102 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 44 memerlukan bantuan pernafasan.
“Daripada jumlah kes baharu terdapat 16 kes import yang mendapat jangkitan luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 1,332 kes,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak lima kematian direkodkan pada hari ini dengan jumlah kumulatif sebanyak 444 kes.
“Mangsa yang meninggal dari Selangor sebanyak dua kes, satu dari Sabah, Wilayah Persekutuan satu kes dan satu lagi di Negeri Sembilan,” ujarnya. – MalaysiaGazette