PASIR GUDANG – Kerajaan negeri berharap pihak berkuasa akan menyiasat secara mendalam berhubung kehilangan peralatan radar ketenteraan berteknologi tinggi di Pelabuhan Tanjung KPelepas (PTP) kerana kesannya boleh menjejaskan reputasi pelabuhan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, apa yang berlaku memerlukan perhatian serius dan pihak berkuasa perlu memaklumkan apa yang berlaku.
“Harap pihak berkuasa dapat menyiasat dan kita perlu tahu sebabnya sama ada kerja terancang atau kecuaian atau salah letak. Jadi, siasatan perlu dijalankan.
“Sebab ini boleh jejaskan reputasi pelabuhan kita. Di Johor ni kita ada tiga pelabuhan dan ia menyumbang kepada usaha kita untuk pelabuhan-pelabuhan itu menjadikan Malaysia pusat logistik serantau.
“Jadi, soal-soal sebegitu kalau disebabkan oleh kekurangan kelemahan dan sebagainya ia tidak baik kepada kita,” katanya ketika mengulas berhubung kehilangan perlatan radar berteknologi tinggi di PTP baru-baru ini seperti dilaporkan akhbar berbahasan Inggeris The Star hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas ditemui pada Rumah Terbuka ADUN Permas di Stadium Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.
Akhbar itu melaporkan, barangan berkenaan dipercayai dari Australia menuju ke Belanda menerusi Johor, bagaimanapun ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana tidak mempunyai kelulusan diperlukan.
Barangan itu, menurut laporan akhbar tersebut, tiba pada bulan lalu dalam satu kontena namun dilaporkan, hasil semakan audit yang dijalankan selepas itu mendapati peralatan tersebut tidak lagi berada di PTP, sebelum satu laporan polis dibuat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada 13 Jun lalu. – MalaysiaGazette.