Home Dunia Maradona derita sakit hati, buah pinggang bukan alkohol

Maradona derita sakit hati, buah pinggang bukan alkohol

Diego Maradona

BUENOS AIRES – Hasil bedah siasat ke atas Diego Maradona mendapati legenda bola sepak itu menderita penyakit hati, buah pinggang dan kardiovaskular.

Bagaimanapun, tiada tanda-tanda alkohol atau narkotik dalam badan mendiang, kata pendakwa raya semalam.

Maradona, 60, kapten pasukan bola sepak Mexico 1986 dan bintang Piala Dunia, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 25 November lalu.

Pendakwa raya bandar San Isidro di utara ibu negara, Buenos Aires menyiarkan hasil laporan bedah siasat Maradona bagi memastikan tiada unsur kecuaian dalam penjagaan kesihatannya.

Maradona sebelum itu mengalami pelbagai penyakit termasuk sirosis, penyakit jantung, dan kegagalan buah pinggang.

Analisis toksikologi tidak menunjukkan kehadiran alkohol atau narkotik dalam darah dan air kencingnya namun Maradona mengambil ubat anti-depresan dan anti-psikotik selain pelbagai ubat lain untuk merawat ulser, konvulsi dan sembelit.

Pakar psikiatrik, Agustina Cosachov dan pakar jantung Leopoldo Luque yang merawat Maradona sebelum kematiannya kini disiasat.

Bedah siasat pertama yang dilakukan pada hari kematiannya mendapati paru-parunya berair selain mengalami kegagalan jantung akut selain jantungnya juga dua kali ganda berat biasa.

Maradona menjalani pembedahan kerana pendarahan di otak pada 3 November lalu.- MalaysiaGazette