Home Nasional Rakyat Sabah diminta elak terlibat dengan Daesh

Rakyat Sabah diminta elak terlibat dengan Daesh

Datuk Hamisa Samat

TAWAU – Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Hamisa Samat meminta agar rakyat di negeri ini sentiasa berhati-hati supaya tidak terlibat dengan militan Daesh yang semakin berleluasa.

Beliau berkata, militan berkenaan hanya menyebabkan huru-hara sehingga mengganggu keharmonian negara.

“Oleh itu kita perlu berhati-hati dan jangan sesekali terpengaruh dengan Daesh dan kita juga perlu bersama-sama untuk membantu anggota keselamatan negara dalam usaha membanteras kegiatan militan itu,” katanya pada majlis rumah terbuka Hari Raya di kediamannya di sini hari ini, yang turut dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung pelbagai kaum.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali; Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia Tawau, Krishna Djelani; Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho.

Mengenai rumah terbuka anjurannya Hamisa yang juga ADUN Tanjong Batu berkata, ia bukan sahaja dapat memperkukuhkan hubungan kekeluargaan tetapi mengeratkan lagi hubungan antara sahabat handai dan jiran tetangga di daerah berkenaan.

“Aidilfitri ini bukan hanya diraikan oleh umat Islam. Sebenarnya ia sudah menjadi budaya bahawa perayaan ini turut diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya. – MalaysiaGazette