Home Utama Pendakwah selebriti diingatkan jangan terpalit dengan isu cabul

Pendakwah selebriti diingatkan jangan terpalit dengan isu cabul

Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal-Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri beramah mesra dengan sebahagian pendakwah selebriti yang hadir pada Program Tausiyah Bersama Pendakwah Selebriti di Movenpick Hotel, Sepang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2020.

SEPANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri tidak mahu pendakwah selebriti terpalit dengan isu pencabulan.

Bercakap di hadapan lebih kurang 50 pendakwah selebriti di Majlis Tausiyah hari ini, beliau mengingatkan agar kesemua mereka tidak terpalit dengan isu yang boleh mencemarkan dan kontroversi khususnya jenayah.

“Tolonglah jaga, termasuk diri saya. Saya tak mahu dengar pencabulan. Nikah dua, nikah tiga, nikah empat tak mengapa,” katanya sambil bergurau.

“Tapi cabul ini, Allah. Nak ulang perkataan itu pun tak sedap bunyinya. Kalau yang ustaz dengan gambar-gambar sekali. Kalau ustaz dua minit kita tahu dah siapa (pelakunya),” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal-Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berucap pada Program Tausiyah Bersama Pendakwah Selebriti di Movenpick Hotel, Sepang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2020.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, para pendakwah selebriti perlu saling nasihat-menasihati antara satu sama lain.

“Pertama, macam saya kata, kita saling  menasihati, sesama Islam, salah satunya dalam majlis seperti ini, bila kita bersama dekat satu sama lain, ingat mengingat, maka di situ kita  harap sinar 2021 tidak akan kita dengar lagi sebarang isu konflik seperti ini,” tambah beliau.

Dalam pada itu beliau akan menyokong usaha pendakwah selebriti menyampaikan dakwah menerusi platform masing-masing.

Baru-baru ini bekas peserta program realiti agama, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mencabul dan melakukan seks luar tabii.

Beliau turut didakwa atas dakwaan merogol dan kini dilepaskan selepas diikat jamin.- MalaysiaGazette