KUALA LUMPUR – Keputusan Kementerian Pengangkutan untuk memodenkan perkhidmatan feri Pulau Pinang dibuat demi keselamatan dan keselesaan para penumpang.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau telah menerangkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung perancangan Kerajaan Persekutuan untuk menaiktaraf feri sedia ada bagi mengambil kira faktor-faktor tersebut dalamĀ memastikan perkhidmatan ini akan terus dinikmati oleh rakyat tempatan termasuk
pelancong.
Menurutnya, seperti yang dijelaskan dalam kenyataan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) pada 15 Disember 2020 berhubung perancangan masa depan perkhidmatan feri Pulau Pinang, fasa pemodenan
perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air (untuk penumpang) bermula dari 1 Januari 2021.
Ia diikuti dengan dua pengangkut kenderaan yang akan hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal), yang akan beroperasi mulai tahun 2022.
Ini susulan dengan pengumuman Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam Dewan Rakyat pada 17 Disember 2020 berhubung peruntukan RM30 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pemodenan perkhidmatan ini yang akan disalurkan melalui dua bayaran pada tahun 2021 dan 2022.
Bagaimanapun, Ka Siong berkata, dijangkakan lebih ramai pengguna kenderaan motor akan menggunakan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah untuk perjalanan antara tanah besar di Seberang Perai dan pulau, yang lebih selamat, cepat dan lebih murah berbanding feri.
Namun, sebagai langkah sementara, PPSB akan menyediakan dua bot penumpang laju untuk mengangkut penumpang serta mendapatkan perkhidmatan feri milik Prasarana untuk mengangkut kenderaan dua roda dalam usaha membantu feri
proses peralihan ke kapal baharu dalam tempoh ini. PPSB juga akan menawarkan perkhidmatan bot laju secara percuma kepada penumpang untuk dua minggu mulai 1 Januari 2021.
Bagi mengekalkan sejarah ikonik Pulau Pinang ini, katanya, kementerian itu akan mempertimbangkan idea yang dicadangkan oleh beberapa pihak untuk menjadikan feri sedia ada sebagai restoran terapung, muzium, atau pelayaran pelancongan yang akan dapat memperingati sumbangan feri-feri Pulau Pinang kepada identiti kebudayaan dan warisan negeri ini. – MalaysiaGazette
Bot-bot Rohingya lebih kecil berbanding feri tetapi lebih selamat mengharungi lautan samudera berbulan-bulan lamanya tanpa karam dipukul ombak dan lebih menjimatkan perbelanjaan tanpa pemodenan membazirkan perbelanjaan yang besar lebih-lebih lagi terpaksa berhutang, kan?