Home Nasional PERS1M mahu singkir pemandu teksi biadab

PERS1M mahu singkir pemandu teksi biadab

KUALA LUMPUR – Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) menggesa orang ramai membantu membersihkan industri pengangkutan awam itu daripada segelintir pemandu teksi yang melanggar undang-undang.

Timbalan Pengerusinya, Kamarudin Hussain berkata, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab dan melakukan kesalahan khususnya mengenai tambang perkhidmatan mereka.

“Kami amat berharap penumpang membantu kami menyingkirkan mereka yang tidak bertanggungjawab dengan merakam video kesalahan yang dilakukan dan melaporkannya kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Ia agar mereka terlibat dikenakan tindakan undang-undang dan mereka yang tidak bertanggungjawab harus disingkirkan buat selamanya dari industri teksi negara,” katanya dalam posting terbaru di akaun Facebook milik PERS1M, hari ini.

Beliau mengulas ramakan video berdurasi dua minit 32 saat yang tular di media sosial Facebook dirakam oleh seorang penumpang teksi yang didakwa ditipu seorang pemandu teksi TEKS1 kerana tidak menggunakan meter dan mengenakan kadar tambang terlalu mahal.

Dalam rakaman visual berkenaan, pemandu teksi itu mendakwa, kadar tambang yang digunanya iaitu RM4 bagi setiap kilometer adalah mengikut caj standard perkhidmatan teksi yang dikenakan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Video terbabit dikecam hebat oleh netizen Facebook apabila pemandu teksi berkenaan menggunakan bahasa tidak sopan terhadap penumpang wanita itu.

Mengulas lanjut, Kamarudin juga menegaskan, sikap segelintir pemadu teksi itu hanya akan menyukarkan pihaknya mendapat penumpang pada masa depan.

“Pemandu teksi ini masih mengamalkan sikap biadab, tiada budi bahasa dan mengenakan caj kepada penumpang tanpa mengikut meter.

“Ini mensia-siakan usaha PERS1M untuk memartabatkan hak mereka dan menyukarkan pemandu-pemandu lain mencari rezeki,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette