Home Nasional Covid-19: Empat kes dikesan di Sabah melalui saringan sebelum merentas negeri

Covid-19: Empat kes dikesan di Sabah melalui saringan sebelum merentas negeri

Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Sebanyak empat kes baharu COVID-19 di Sabah hari ini dikesan melalui ujian saringan sebelum merentas negeri, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap rasmi COVID-19 kerajaan negeri itu berkata, kesemua kes melibatkan dua rakyat Malaysia dan dua rakyat asing.

“Individu terlibat berhasrat berlepas ke Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan,” menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata daripada sejumlah 249 kes positif COVID-19 yang dicatatkan Sabah hari ini, 149 kes adalah daripada saringan kontak rapat diikuti saringan bergejala (47 kes), saringan kluster sedia ada (13 kes), saringan kendiri (enam) dan selebihnya kategori saringan lain.

Katanya kapasiti penggunaan katil bagi rawatan COVID-19 adalah pada 26.18 peratus dengan kapasiti keseluruhan katil di Hospital COVID-19 sebanyak 966 unit manakala di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah ialah 5,432 unit.  – MalaysiaGazette