PARIS – Mauricio Pochettino hampir pasti bakal dilantik sebagai pengurus Paris Sainy Germain setelah Thomas Tuchel dipecat kelmarin.
Bekas Pengurus Tottenham Hotspur itu difahamkan calon utama mendahului senarai pengganti Tuchel yang diburu kelab gergasi Ligue 1 Perancis itu sejak dua hari lalu.
Para pemain PSG juga telah dimaklumkan bahawa ikon kelahiran Argentina itu akan mengemudi kelab itu sebagai pengurus baharu dalam masa sehari dua lagi.
Perbincangan di antara PSG dan Pochettino telah bermula sejak dua minggu lalu sebagai langkah pembaharuan dalam kelab itu.
Langkah mengejut dari Pengarah Sukan kelab itu hadir selepas beberapa siri keputusan mengecewakan dalam liga domestik dan antarabangsa.
Tuchel dipecat sejam selepas kelab itu menang 4-0 ke atas Strasbourg dalam Ligue 1 Rabu lalu.
PSG kini menduduki tempat ketiga dalam carta liga domestik perbezaan satu mata dengan pendahulunya Lyon.
Malah dalam aksi kalah mati Liga Juara-Juara Eropah, mereka akan berdepan gergasi La Liga Sepanyol, Barcelona.
Pochettino yang berjaya membawa Spurs ke pusingan akhir Liga Juara-Juara Eropah pada 2019 tewas kepada Liverpool.-MalaysiaGazette