KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) dan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) bertekad mahu menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Amanah bukan walaun kepada mana-mana pemimpin mahupun parti politik.
Walaun merupakan istilah yang dikamil daripada perkataan walak yang membawa maksud taat setia kepada pemimpin tertentu.
“Bila Amanah ditubuhkan, tiada ‘dewa’ dalam parti ini. Tiada ‘warlod’ (panglima politik) dalam Amanah.
“Saya jelaskan pendirian Amanah. Saya boleh tahu pemimpin Amanah yang paling komited dengan Pakatan Harapan (PH). Kita bukan nak jadi ‘walaun’ mana-mana.
“Saya bukan walaun (Presiden Amanah) Mohamad Sabu. Amanah bukan walaun siapa-siapa. Kita bukan walaun Tun (Dr Mahathir Mohamad), bukan ‘walaun’ (Presiden PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tapi kita mahu PH berdiri dan menumbangkan kerajaan tebuk atap yang jadi ‘perompak’ dan ‘penyamun’ kepada mandat rakyat,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Pemuda Amanah, di Melaka hari ini.
Bekas menteri PH berkata parti pimpinan Mohamad Sabu itu tidak sama sekali ingin mengenepikan kepimpinan Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ujarnya, parti itu tidak berganjak dengan memilih Anwar sebagai pemimpin yang mengetuai PH.
“Tak ada niat pun (Amanah) nak ketepikan Anwar seperti yang difitnah hari-hari.
“Hari ini kita buat penjelasan, ini adalah pendirian rasmi kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette