Home Nasional Polis cekup tiga individu lakukan aksi “zig zag”, “Superman”

Polis cekup tiga individu lakukan aksi “zig zag”, “Superman”

drunk driver Perodua Bezza SKVE hit and run motorcyclists driving against traffic assault

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki ditahan kerana melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (arah ibu negara) dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), awal pagi tadi.

Menerusi operasi yang dilakukan sepasukan anggota dari Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bermula bermula pukul 12.01 tengah malam hingga 7.30 pagi itu kesemua individu yang dicekup berusia antara 19 hingga 23 tahun.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, mereka didapati membuat kesalahan dengan berlumba sesama sendiri sambil melakukan aksi ‘zig-zag’ dan ‘Superman’.

“Ketika kita buat pemantauan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban pada jam 1 pagi, polis mendapati ada dua penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya dengan berlumba sesama sendiri selain aksi ‘zig-zag’ bermula dari Kilometer (Km) 296.6 hingga Km 300.

“Polis tangkap mereka selepas suspek memberhentikan motosikal di Plaza Tol Sungai Besi 10 minit kemudian dalam keadaan baik dan selamat. Di ELITE pada jam 1.45 pagi pula, kami mengekori sebuah motosikal yang ditunggang seperti ‘Superman’.

“Ia bermula dari KM 28.5 sehingga KM 26. Tangkapan suspek dibuat 10 minit kemudian selepas dia memberhentikan motosikalnya di bahu jalan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semua suspek bersama motosikal milik mereka dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan Sepang mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette