Home Utama Harap Covid-19 cepat hilang, warga kota rindu kehidupan dulu

Harap Covid-19 cepat hilang, warga kota rindu kehidupan dulu

Gelagat warga kota yang bersiar-siar di sebuah pusat beli-belah dalam norma baharu. foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Berbaki kurang seminggu sebelum kita menjengah ke tahun baharu 2021 dan meninggalkan tahun ini yang penuh pelbagai kisah suka dan duka.

Sudah tentu setiap orang punya azam yang ingin dicapai selain menanam harapan supaya tahun baharu yang bakal ditempuh lebih baik dari sebelumnya.

Jika diimbas kembali, tahun 2020 merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh rakyat apabila dunia dilanda pandemik Covid-19, sekali gus perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam normal baharu.

Muhammad Mukhriz Mohd Haiza

Bagi seorang pelajar kolej, Muhammad Mukhriz Mohd Haiza, 18, dia berharap pandemik yang sedang menyerang seluruh negara ketika ini dapat pulih segera hasil penemuan vaksin.

“Harapan tahun 2021 saya senang sahaja supaya Covid-19 ini cepat berlalu dan kalau boleh pemberian vaksin seperti yang dijadualkan pada bulan tiga kerana kami sebagai pelajar susah hendak belajar secara dalam talian.

“Sistem pemarkahan juga berbeza jika kelas secara online dan pelajar seperti saya lebih gemar belajar secara bersemuka dengan tenaga pengajar,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette hari ini.

Ketika ditanya mengenai pengalaman sepanjang tahun 2020, Muhammad Muhkriz berkata, kebanyakan masanya terbuang begitu sahaja tanpa ada manfaat lebih-lebih lagi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ujarnya, setelah tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia hanya duduk di rumah selain turut terkilan kerana tidak dapat menjalankan aktiviti kegemaran anak muda seperti meluangkan masa bersama rakan atau keluar berjalan-jalan.

Goh Lee San

Sementara itu, seorang bekas juruteknik syarikat penerbangan, Goh Lee San, 58, berkata, tahun 2020 bukan lah tahun yang baik lebih-lebih lagi kepada golongan yang kehilangan mata pencarian.

“Satu pengalaman yang tidak bagus kerana saya diberi notis untuk berhenti kerja lebih awal dan amat sukar untuk mencari pekerjaan lain kerana umur pun sudah lanjut.

“Jadi saya harap pada tahun 2021, kerajaan dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dengan mengambil kira mereka yang terjejas,” ujarnya.

Husin Jamaluddin

Manakala seorang pesara kerajaan, Husin Jamaluddin, 66, berharap supaya rakyat Malaysia bersabar dan terus cekalkan hati dalam mengharungi wabak Covid-19.

Tambah Husin, pandemik yang sedang melanda negara ketika ini sudah tentu memakan masa yang agak lama untuk pulih jadi rakyat perlu sentiasa berhati-hati ketika berada di luar rumah terutamanya kawasan tumpuan awam.

“Saya seorang yang suka berjalan-jalan jadi ketika tempoh PKP memang tidak ada aktiviti dapat dibuat memandangkan tidak dapat keluar rumah. Kalau tanya saya sekarang, memang teringin sangat lah hendak naik kapal terbang untuk keluar negara,” katanya.

Zamira Omar

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Zamira Omar, 30, turut berkongsi harapan tahun baharu yang sama agar wabak Covid-19 segera pulih.

“Saya harap Covid-19 lekas pulih kerana memang rindu hendak hidup seperti biasa sama macam dahulu, keluar bekerja seperti biasa dan juga ekonomi pulih semula,” ujarnya.

Bagi D. Daivanayagi, 50, tahun 2020 merupakan satu pengalaman pahit yang terpaksa diharungi bukan sahaja buat dirinya malahan keseluruhan masyarakat.

D. Daivanayagi

Beliau yang bekerja sebagai seorang guru itu juga berharap menjelang tahun 2021 negara dapat bebas dari wabak Covid-19.

“Pandemik ini menjadikan rakyat berdepan dengan pelbagai masalah bukan sahaja dari segi ekonomi malah dalam semua sektor.

“Saya sebagai guru tidak dapat jalankan pembelajaran secara bersemuka seperti biasa dan perlu laksanakannya secara dalam talian walaupun ada murid yang tidak dapat sertai kerana kekangan Internet.

“Ini merupakan satu pengalaman yang pahit buat saya dan juga seluruh rakyat,” katanya. – Malaysia Gazette