SUBANG – Kementerian Kesihatan akan menyiasat insiden seorang individu yang mengalami kematian otak akibat pengambilan ubat ekstasi berjenama Facebook di Johor baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya memandang serius insiden yang memudaratkan itu, seperti yang dilaporkan akhbar berbahasa Cina.
Individu itu difahamkan telah mengambil pil ekstasi ‘Facebook’ di sebuah kelab malam di Johor Baharu dan dimasukkan ke hospital sebelum mengalami kegagalan otak berfungsi.
“Insiden ini di luar kawalan bidang perubatan (ekstasi jenama Facebook). Kena tanggung risiko jika tidak berjaga-jaga ketika makan.
“Kita sentiasa menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam mengambil sebarang ubat, vitamin atau tonik yang diiklankan dalam media sosial atau dalam talian.
“Kita sentiasa menitik beratkan jenis ubat sama ada selamat dimakan, kesan sampingan atau telah diiktiraf kementerian kesihatan dan mereka perlu berjaga-jaga.
“Ini akibat makan sewenang-wenangnya sehingga memudaratkan dan menyebabkan kematian otak suatu perkara serius,” katanya selepas memperkenalkan tujuh pemain baharu, termasuk tiga pemain import, pasukan bola sepak MISC-MIFA yang beraksi dalam Liga Perdana di One City SkyPark, Subang Jaya hari ini.
Subramaniam yang juga Penasihat pasukan Bola Sepak MISC-MIFA menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai mangsa pil ekstasi Facebook.
Menurutnya, setakat ini kementerian itu tidak menerima sebarang aduan berkaitan insiden tersebut. – MalaysiaGazette