Home Nasional Muhyiddin sedih sahabat baiknya dijemput Ilahi

Muhyiddin sedih sahabat baiknya dijemput Ilahi

Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa sedih berikutan kematian bekas ahli Parlimen Sri Gading, Tan Sri Aziz Mohamad yang meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru semalam.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Allahyarham amat akrab dengannya sepanjang mereka menjadi wakil rakyat di Johor.

“Saya merasa amat sedih apabila mendapat perkhabaran yang sahabat baik saya Tan Sri Mohamad Aziz telah meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, lewat malam tadi.

“Allahyarham yang merupakan bekas Ahli Parlimen Sri Gading memang akrab dengan saya kerana hubungan kami yang panjang sebagai wakil rakyat Johor.

“Sebagai sahabat, beliau sering memberikan pandangan dan nasihat dari sisi politik melalui penilaiannya.

“Sikapnya yang tegas, membuatkan beliau dihormati dan disegani ramai. Malahan beliau banyak memberikan inspirasi dalam arena politik tanah air,” katanya.

Muhyiddin menambah, Allahyarham akan terus dikenang sebagai seorang sahabat yang selalu mengambil berat tentang rakan-rakan dan sentiasa memberikan nasihat yang tidak ternilai harganya.

“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang dan mendoakan agar mereka tabah menghadapi detik memilukan ini. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada negara dan rakyat Malaysia, terutama di Sri Gading.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tan Sri Mohamad Aziz meninggal dunia

1 Komen

Comments are closed.