Home Nasional Pemuda UMNO gesa kerajaan tubuh pasukan khas

Pemuda UMNO gesa kerajaan tubuh pasukan khas

Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menggesa kerajaan menubuhkan pasukan khas melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam industri halal bagi mengenal pasti dalang kartel di sebalik penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk yang diragui status halal dan kualitinya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, majoriti rakyat tidak sedar bahawa pensijilan halal dan penguatkuasaan membabitkan makanan halal terletak di bawah bidang kuasa agensi yang berbeza-beza.

“Kuasa pensijilan halal ketika ini terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri.

“Sedangkan penguatkuasaan (terletak) di bawah pelbagai agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP), Kementerian Kesihatan, polis dan Jabatan Kastam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Asyraf berkata, dalam isu mengawal selia import bekalan daging pula, ia tidak hanya terletak di bawah kuasa mutlak JAKIM, malah turut melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam (JKDM) serta polis pelabuhan.

Ujarnya, disebabkan itu kerajaan perlu mengambil tindakan serta merta menarik semula bekalan daging yang memasuki pasaran dalam tempoh dua minggu lepas oleh syarikat terbabit bagi mengelakkan ia dijual kepada rakyat dan pengusaha makanan.

“Adalah perlu untuk segera lakukan penambahan kakitangan pengawal seliaan halal di JAKIM dan di Jabatan Agama Islam Negeri yang mampu menampung keperluan mendesak, bukan sahaja aspek persijilan halal bahkan pemantauan dan penguatkuasaan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, kerajaan juga perlu memperkasakan semula Majlis Halal Malaysia bagi membangunkan industri halal secara komprehensif dan bersepadu, yang membabitkan 300 institusi agensi kerajaan persekutuan, negeri dan pihak swasta. – MalaysiaGazette