KUALA LUMPUR- Sejumlah 1,247 kes positif Covid-19 yang mana hanya dua daripadanya kes import disahkan pada hari ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 18,576 kes.
Bilangan kes sembuh pada hari ini adalah sebanyak 1,441 kes.
Terdapat tiga kematian direkodkan pada hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal mencatatkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 461 kes atau 37 peratus daripada keseluruhan kes baharu pada hari ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 309 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif di lapangan.
Sabah menduduki tangga kedua kes baharu terbanyak hari ini dengan 225 kes diikuti Johor dengan 205 kes.
“Sebanyak 211 kes (16.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Gajah (113 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (86 kes), Kluster Tembok (8 kes), dan Kluster Pompod (4 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menyentuh mengenai kes kematian hari ini, Dr. Noor Hisham berkata, seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 76 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit Chronic Obstructive Airway Disease dan strok. Mangsa meninggal di Hospital Lahad Datu, Sabah.
Korban kedua adalah seorang wanita warganegara Malaysia berusia 64 tahun yang menghidapi penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung. Mangsa meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Korban kedua adalah seorang lelaki bukan warganegara Malaysia berusia 65 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan gout. Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Duchess of Kent, Sabah.
Menurut Dr. Noor Hisham sehingga kini, terdapat 108 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 47 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Bilangan kes sembuh pada hari ini adalah sebanyak 1,441 kes.- MalaysiaGazette