KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengesahkan seorang pegawainya yang bertugas di Stesen Bandaraya positif Covid-19 dua hari lepas.
Pegawai tersebut kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Menurut Prasarana, kali terakhir staf berkenaan bertugas pada 19 Disember lalu dan tidak bekerja sejak tarikh berkenaan.
“Berdasarkan siasatan kami, ini adalah insiden di kawasan tertutup dan pegawai stesen berkenaan tiada mempunyai kontak dengan para penumpang ketika bertugas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Berikutan pengesahan itu, Prasarana berkata, pihak pengurusan Rapid Rail yang merupakan operator perkhidmatan rangkaian-rangkaian LRT, telah melaksanakan kerja-kerja disinfektasi dan pembersihan tempat kerja staf itu pada malam berkenaan berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, staf-staf lain yang mempunyai kontak rapat dengan pegawai stesen berkenaan turut diarahkan menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan di bawah prosedur operasi standard KKM.
“Rapid Rail akan terus memantau dengan rapi perkembangan kes ini dan sentiasa bekerja rapat dengan pihak berkuasa khususnya KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak awal penularan pandemik ini sejak awal tahun bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang dikendalikan oleh Rapid Rail dan juga Rapid Bus sentiasa berkeadaan selamat dan selesa untuk digunakan.
“Tren-tren untuk semua laluan sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari semasa waktu puncak dan selepas operasi pada hari berkenaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kakitangan yang bertugas di semua stesen dan di dalam tren sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khususnya pemakaian pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan menggelakkan kontaks dengan para penumpang.
Berikutan itu, Rapid Rail memberi jaminan bahawa perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya adalah selamat. – MalaysiaGazette