Home Politik DAP redha dengan rampasan kuasa di Perak

DAP redha dengan rampasan kuasa di Perak

KUALA LUMPUR – DAP yang sebelum ini disebut-sebut akan menubuhkan kerajaan negeri bersama-sama UMNO di Perak akhirnya mengaku ‘redha’ dengan keadaan politik semasa negeri itu.

Ketua Pemuda DAP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berkata, walaupun Pakatan Harapan (PH) kalah tetapi rakyat tetap menang.

Kata Chuan How, ramai meluahkan rasa marah dan kecewa mereka terhadap PH Perak kerana menyangka pimpinan mereka telah diperkudakan UMNO sehingga mencapai matlamat merampas kuasa.

“Kami mengakui bahawa dari luar, Pakatan Harapan nampaknya rugi dan tertewas. Tetapi kami redha kerana rakyatlah yang menang sebenarnya, khususnya majoriti mereka yang diam di kawasan-kawasan DUN pembangkang.

“Pertama kali dalam sejarah negeri Perak dengan semua kawasan DUN mendapat peruntukan adil dan saksama tanpa mengira penyokong kerajaan ataupun pembangkang.

“Peruntukan ini hanya boleh digunakan untuk rakyat kawasan DUN masing-masing bagi program-program rakyat, dan bukan untuk poket wakil rakyat.

“Kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk meminda perintah tetap Dewan Undangan Negeri bagi tujuan membolehkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri dilantik dari kalangan ADUN Pembangkang.

“Ini merupakan suatu langkah reformasi institusi yang membawa Negeri Perak satu lagi langkah kemajuan ke arah Demokrasi bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Kata Chuan How, jawatan Ketua pembangkang juga diiktiraf secara rasmi dengan implikasi kewangan diperuntukkan dalam belanjawan 2021 juga bakal dimaktubkan dalam perintah tetap DUN.

“Rakyat negeri Perak bakal menyaksikan segenap wakil rakyat negeri berfungsi secara lebih efisyen menghadapi serta menyelesaikan permasalahan rakyat juga buka ruang untuk perubahan dan evolusi kepada badan politik negeri secara amnya.

“Dengan penggemblengan dan penglibatan lebih luas oleh semua ADUN, besar kebarangkalian akan tergubal dan rungkainya dasar-dasar yang lebih progresif dan menguntungkan rakyat Perak,” ujarnya.

Nasihat Howard kepada penyokong supaya tidak terlalu risau kerana semuanya dilaksanakan atas prinsip, kejujuran dan amanah.

“Kami sentiasa mendengar serta memahami kegusaran anda.

“Dalam iklim politik, ekonomi terkini yang dihantui kebuntuan serta wabak Covid-19 di mana rakyat kian muak dengan telatah pemimpin kerajaan PN susah dengan penderitaan dan kesengsaraan.

“Kami rela “kalah” buat seketika asalkan rakyat yang untung. Kami redha, kerana ia adalah kewajipan kami,” katanya. -MalaysiaGazette