KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 dan kekangan ekonomi negara tidak merencatkan usaha dan inisiatif MIC membiayai pengajian pelajar-pelajar India dengan menggunakan dana parti itu.
Malah tradisi 36 tahun itu yang masih diteruskan menerusi Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MiED) dengan meningkatkan pembiayaan lebih berbanding tahun lalu iaitu RM5.8 juta pada tahun ini.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, segala pembiayaan dana pengajian anak-anak India yang kurang berkemampuan selama ini diperolehi menerusi sumbangan ahli dan teknokrat MIC
“Walaupun MiED ditubuhkan untuk membantu atau membela nasib anak-anak masyarakat India dalam bentuk pinjaman pendidikan dan biasiswa, tetapi dalam konsep terbuka MIC juga memberi sumbangan kewangan dalam bentuk sama kepada kaum-kaum lain.
“MIC kini sudah matang dan mengamalkan keterbukaan dalam sektor pendidikan mencakupi semua kaum supaya anak-anak tempatan mendapat hak pendidikan tanpa halangan.
“Kita tidak ambil satu sen pun daripada mana-mana kerajaan, tapi ini hasil kutipan dan sumbangan ahli-ahli MIC yang mana sejak ditubuhkan hingga kini sebanyak 163 juta telah digunakan bagi nilai murni itu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dan kemudian menyampaikan cek pembiayaan pinjaman pendidikan dan biasiswa MiED berjumlah RM3.356 juta di sini hari ini.
Lebih 15,000 graduan dan profesional dibantu MIC selama lebih tiga dekad lalu.
Menurut Saravanan, inisiatif itu akan diteruskan walau menghadapi kekangan dalam usaha memastikan anak-anak tidak tercicir dari arus pendidikan.
Ditanya mengenai berapa ramai peminjam yang berjaya membayar balik pinjaman untuk membolehkan bantuan itu diteruskan, beliau berkata, ramai yang memberi respon untuk membayar balik pinjaman itu.
“Walaupun di peringkat awal MIC dan MiED menghadapi kekangan dalam mengutip semula pinjaman wang itu dari peminjam, tetapi hari ini, kita lihat perubahan besar di kalangan graduan hampir 85 peratus sudah membayar semula pinjaman tersebut dengan sistem kutipan efisien oleh MiED.
“Jika lihat pada faktor mendorong menambah jumlah pembiayaan bagi tahun ini, kita mengambil kira krisis pandemik dan kesihatan selain ekonomi, MiED membuat keputusan menambah jumlah pembiayaan dana kali ini mengambil kira saranan kerajaan yang mahu semua agensi membantu masyarakat kita dalam keadaan ‘unpresidented ini’,” ujarnya. – MalaysiaGazette