KUALA LUMPUR – Segelintir ahli DAP kini lantang mengkritik dinasti Lim serta kepincangan kepimpinan dalam parti itu.
Malah ahli DAP sudah berani meminta atau mendesak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng telah memegang jawatan dalam parti untuk sekian lama memberi peluang kepada golongan muda.
Bagaimanapun desakan itu tidak dilayan Kit Siang dan Guan Eng, sebaliknya mereka mengkritik kerajaan serta pemimpin politik lain terutamanya UMNO bagi terus mengaburi krisis yang tercetus itu.
Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran berkata, tindak tanduk yang dipamerkan oleh kedua-dua individu itu tidak mengejutkan, sebaliknya itu adalah warna sebenar mereka.
“Hari ini Kit Siang menyoal mampukah UMNO kembali ke era Presiden berintegriti tapi kita juga hendak tahu adakah Kit Siang dan anaknya Guan Eng mampu mampu menjawab persoalan ditimbulkan oleh ahli DAP sendiri terhadap mereka?
“Mengapa pula kamu butakan mata serta pekakkan telinga apabila ahli CWC kamu sendiri, Teng Chang Kim memberi cadangan supaya kamu dan anak kamu turut sama-sama bersara dari politik?,” katanya.
Menurutnya, setiap apa yang ditulis dan disoal oleh Kit Siang tidak akan menyentuh skandal yang dikaitkan dengan anak atau menantu atau sesiapa sahaja keluarganya.
Malah katanya, Kit Siang sering menuduh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tapi apabila disoal tentang faktanya beliau menghilangkan diri dan tampil dengan naratif yang baharu.
“Bila kes Najib Razak ke mahkamah, kamu angkat perundangan setinggi yang boleh. Apabila undang-undang sama mendakwa anak dan menantu kamu, kamu terus tuduh itu sebagai pembunuhan politik.
“Guan Eng sendiri mendakwa dirinya adalah mangsa keadaan, mangsa politik dan terlalu banyak serangan sana sini, hanya untuk kamu sahaja keadilan, untuk pemimpin lain semuanya rasuah, semuanya tiada integrit,” ujarnya.
Baru-baru ini Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Chang Khim bukan sahaja mengkritik Kit Siang dan Guan Eng, malah beliau memohon mereka bersara dengan cara elok.
Namun cadangan itu tidak diendahkan oleh kedua-dua mereka.
Difahamkan rata-rata golongan muda tidak begitu gembira dengan keadaan itu dan mengharapkan perubahan terhadap pentadbiran parti tersebut.
Namun sama seperti parti-parti politik lain di negara ini, pemimpin veteran enggan melepaskan jawatan begitu sahaja.-MalaysiaGazette