Home Politik Pas Johor gesa kerajaan tubuh RCI kartel import daging

Pas Johor gesa kerajaan tubuh RCI kartel import daging

Rusman Kemin

KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan Pas negeri Johor menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kartel daging haram sebagai satu langkah pantas dalam menangani isu tersebut.

Ketua Penerangannya, Rusman Kemin berkata, kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri Bahagian Agama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kastam Diraja, Majlis Agama Negeri-Negeri perlu lebih sensitif dalam menguruskan perkara itu.

Ini kerana katanya, sebagai sebuah negara yang dipimpin oleh pemimpin Islam dan majoriti rakyat beragama Islam bahkan agama Islam itu sendiri sebagai agama rasmi negara tidak sepatutnya terlepas dengan perkara-perkara seumpama itu.

“Kerajaan perlu memperketatkan undang-undang yang melibatkan bahan makanan import dengan melipatgandakan pemeriksaan ke atas permis-premis pemprosesan makanan.

“Langkah lain yang perlu dilakukan adalah membuat pembaharuan kepada logo halal bersesuaian dengan perkembangan semasa,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Rusman berkata, kerajaan juga perlu memanfaatkan sepenuhnya media kerajaan bagi mendidik masyarakat supaya peka dengan pengambilan makanan yang halal dan sihat.

Katanya, turut perlu dilaksanakan adalah dengan mengenakan hukuman berat kepada kakitangan kerajaan yang terlibat sebagai dalang.

Bagi tujuan itu kata beliau, kerajaan perlu menyediakan akses yang mesra dan mudah kepada rakyat bagi melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu.

“PAS Johor berharap isu-isu yang menjadi kebimbangan masyarakat Islam di Malaysia yang telah sekian lama kurang diberi perhatian ini dapat diselesaikan dengan kadar segera.” katanya. – MalaysiaGazette

+ posts