Home Akhbar Cina Selain Guan Eng, dua orang lagi layak

Selain Guan Eng, dua orang lagi layak

Tan kok wai dap
Tan Kok Wai

KUALA LUMPUR – Selain Lim Guan Eng, terdapat dua orang lagi pemimpin DAP yang layak untuk memegang jawatan sebagai pengerusi DAP, kata Tan Kok Wai mengulas mengenai calon yang akan menggantikannya.

Kok Wai yang telah mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan pengerusi bagaimanapun tidak mendedahkan nama dua calon misteri itu.

DAP sebelum ini telah mendapat lampu hijau untuk menundakan pemilihan parti ke 30 Jun tahun depan berikutan keadaan wabak COVID-19.

Pemilihan itu mencuri perhatian kerana Guan Eng yang mencapai had maksimum sebagai Setiausaha Agung DAP dijangka akan menggantikan Kok Wai sebagai Pengerusi DAP.

Seorang pemimpin pusat DAP yang juga Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim bagaimanapun mengajak Guan Eng dan ayahnya, Lim Kit Siang untuk bersara.

Saranan tersebut juga disokong penganalisis tertentu yang berpendapat DAP sedang berdepan “penuaan”, satu keadaan yang dikatakan tidak menyenangkan pemimpin muda.

Kok Wai ketika menerima wawancara Nanyang Siang Pau bagaimanapun tidak bersetuju dengan tanggapan itu.

Katanya, DAP sudah memasuki generasi keempat dan menyaksikan kelahiran bakat-bakat baharu dalam setiap generasi.

“Perlu ditegaskan pengekalan orang lama dalam parti adalah mengikut kehendak ahli juga.

“Jika ahli berpendapat pemimpin tertentu tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik, maka mereka boleh digugurkan dalam pemilihan parti,” katanya.

Menurutnya, sesetengah penganalisis tidak berlaku adil kepada Guan Eng dan Kit Siang apabila mengulas tentang kedudukan mereka.

“Mengenai pemimpin politik, umur tidak harus menjadi satu isu.

“Nelson Mandela menjadi Presiden Afrika Selatan ketika berumur 76 tahun, Joe Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat pada usia 79 tahun, manakala Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada umur 93 tahun,” katanya.

Kok Wai berkata, masing-masing Kit Siang dan Guan Eng telah memberi sumbangan kepada parti dan mereka bukannya penghalang kepada kemajuan parti.

— MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Banyaklah ko kehendak ahli…ko sampai mampus lah jd SUA …dah mcm Mao pegang jawatan sampai mampus!

Comments are closed.