KUALA LUMPUR – Setiap aduan yang diterima oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) berkenaan kerosakan jalan atau jalan berlubang diambil serius tanpa mengira sama ada ia melibatkan jalan Persekutuan sekalipun jalan negeri.
Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata, JKR sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam memantau keadaan jalan raya di seluruh negara dan setiap aduan yang diterima menjadi keutamaan jabatan dalam memastikan pengguna jalan raya berada dalam keadaan selamat dan selesa.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil serius komen-komen netizen di media sosial mengenai respon jabatan terhadap aduan-aduan yang diterima melibatkan isu jalan rosak dan jalan berlubang.
“Tanpa mengira Jalan Persekutuan atau Jalan Negeri atau Jalan Majlis setiap aduan akan disalurkan kepada pihak berkenaan untuk diambil segera,” katanya menerusi kenyataan.
Dengan ‘no wrong door policy’ JKR ujarnya menyediakan 11 saluran aduan yang boleh digunakan orang ramai untuk menyampaikan aduan.
“Saluran aduan adalah Web aduan JKR Care (aduan.jkr.gov.my), panggilan telegon, SISPAA (kkr.spab.gov.my). emel komunikasi ([email protected]), akhbar, lisan dengan hadir terus ke pejabat KR, Biro Perpaduan Awam (pcb.spab.gov.my), surat, Mygoo dan Respon Rakyat (aplikasi Biro Pengaduan Awam),” katanya.
Mohamad Zulkefly berkata, JKR komited untuk melakukan penambahbaikan perkhidmatan dari semasa ke semasa.
“Sebarang cadangan dan kritikan membina insyallah kami terima dengan hati terbuka untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua Jurutera Daerah dan admin media sosial JKR di seluruh negara yang sentiasa responsif terhadap aduan yang diterima.
“Saya juga berterima kasih kepada netizen dan rakan strategik JKR RakanKKR yang turut menjadi mata dan telinga dalam memberi maklumat mengenai jalan,” kata beliau lagi.
Baru-baru ini JKR hangat diperkatakan apabila ia didakwa mengambil pendekatan pilih kasih selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaludin Abu Bakar terlibat dengan kemalangan akibat jalan berlubang di Kuala Langat.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau itu turut berkongsi tiga keping gambar menunjukkan kesan lebam dan luka pada mukanya akibat kemalangan ketika berbasikal.
JKR kemudian mengeluarka kenyataan permohonan maaf kepada Khairy atau KJ.-MalaysiaGazette