KUALA LUMPUR – Ekoran isu kartel daging import haram, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melaksanakan beberapa pelan tindakan segera termasuk mengadakan Perbincangan Meja Bulat (RTD) dengan pengimport, pengedar daging pada 11 Januari 2021.
RTD berkenaan menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh dilakukan bersama-sama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Iai bertujuan untuk membincangkan isu-isu atau masalah yang dihadapi oleh pengimport dan pengedar termasuklah memberi penjelasan mengenai keperluan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pengimportan dan pengedaran.
“JAKIM juga menggalakkan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) melalui skim Logistik (Pergudangan). Mensyaratkan pemegang SPHM mendapatkan bekalan daging dari pengimport atau pengedar yang telah dipersijilkan halal di bawah skim logistik (pergudangan),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu kata Abdul Aziz, JAKIM akan mengadakan lawatan pemantauan kepada pengimport daging, pemegang SPHM dan rumah sembelih dengan meningkatkan aktiviti pemeriksaan.
Selain itu JAKIM akan mempromosikan Badan Pensijilan dan Logo Halal Luar Negara yang diiktiraf jabatan itu.
Katanya setakat ini pihaknya telah mengiktiraf 84 badan pensijilan halal luar negara di 46 buah negara.
JAKIM selain itu akan menambah baik SOP Pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Luar Negara.
Terbaharu, syarikat yang dikaitkan dengan kartel daging yang menggunakan logo halal palsu Jakim akan didakwa di mahkamah esok.- MalaysiaGazette