Home Ekonomi MATRADE sasar perkukuh daya tahan 13,000 syarikat dalam era pasca Covid-19

MATRADE sasar perkukuh daya tahan 13,000 syarikat dalam era pasca Covid-19

KUALA LUMPUR – Pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan penglibatan sebanyak 13,000 syarikat-syarikat tempatan menerusi penganjuran pelbagai program pada tahun depan bagi memperkukuh daya tahan global khususnya dalam era pasca-COVID-19.

Sehubungan itu, agensi penggalakan perdagangan nasional itu telah menyenaraikan 334 program bagi 2021 iaitu masing-masing 277 program Pembangunan Eksport (ED) dan 57 program Galakan Eksport (EP).

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata agensi itu merancang untuk terus menyuntik nilai tambah program-program utama ED seperti eTRADE 2.0; Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera, Wanita dan Belia (BWYEDP); Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) dan X-SEED.

Malah, program ED akan diperkasakan dengan pelbagai seminar dan latihan selain persidangan utama MATRADE seperti Hari Eksport Kebangsaan (NED) yang merupakan perhimpunan mega para pengeksport.

“Kita turut memberi tumpuan untuk memacu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) agar lebih bersedia dalam bidang seperti kemampanan, transformasi digital, internet pelbagai benda (IoT), Revolusi Perindustrian 4.0 dan kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Mustafa berkata agensi itu juga merancang membantu syarikat-syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa ketika waktu-waktu sukar seperti sekarang dengan mengetengahkan unjuran pasaran yang dikemaskini selain menghubungkan secara maya antara pembeli asing dan syarikat tempatan menerusi rangkaian 46 pejabat MATRADE di luar negara.

“Tahun 2021 akan menyaksikan MATRADE melipatgandakan usaha libat urus dengan memanfaatkan mekanisme digital untuk ketengahkan lebih banyak peluang perniagaan untuk syarikat Malaysia, khususnya PKS dan MTC.

“Ini dilaksanakan menerusi penglibatan strategik dengan sektor awam dan swasta di Malaysia dan luar negara bagi mengenal pasti peluang eksport baharu di kedua-dua sektor konvensional dan berkembang pesat atau baharu muncul,” katanya.

Selain itu, program ED bertujuan melengkapkan syarikat-syarikat dengan kemahiran membangunkan kelebihan strategik serta menggalakkan nilai-nilai kemampanan sebagaimana digariskan oleh Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).

Bagi EP, sebanyak 57 program berkaitan telah dirancang bagi sepanjang tahun depan untuk memacu prestasi eksport syarikat Malaysia ketika tempoh pemulihan COVID-19 termasuk penyertaan acara-acara pameran perdagangan antarabangsa dan misi perdagangan (misi pemacu eksport dan misi pelaburan serta perdagangan).

Antaranya Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang merupakan program padanan perniagaan Malaysia yang dikenali selain eBizMatch iaitu format secara maya membabitkan pramesyuarat perniagaan-kepada-perniagaan (B2B).

Menurut MATRADE, program EP pada 2021 akan memberi fokus terhadap eksport utama negara termasuk makanan dan minuman, perkhidmatan, bahan binaan, gaya hidup, minyak dan gas, aeroangkasa, jentera dan peralatan serta perubatan dan farmaseutikal.

Program tersebut telah dirangka bagi melahirkan lebih banyak syarikat berstatus jaguh eksport dalam sektor bernilai tinggi, memanfaatkan platform digital dan trend semasa selain menjalin kerjasama strategik.

Lebih separuh atau 32 program EP akan diadakan di negara-negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) seperti Australia, Kemboja, China, Indonesia, Jepun, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam serta Malaysia.- BERNAMA