LONDON – Juara bertahan enam kali, Roger Federer terlepas aksi Tenis Terbuka Australia buat pertama kali dalam kariernya selepas beraksi 22 tahun berturut-turut sebelum ini.
Sebelum itu, juara Grand Slam 20 kali itu dijangka akan mengambil bahagian dalam temasya kali ini yang akan membuka tirai pada 8 Februari 2021.
Malah Federer juga begitu bersemangat untuk kembali berentap dalam Kejohanan kegemarannya itu.
Malangnya kesihatan jaguh warga Switzerland itu tidak mengizinkan untuk kembali awal ke gelanggang tenis pada awal 2021.
Ini kerana jaguh tenis dunia berusia 39 tahun itu masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan di lutut.
Federer tidak beraksi sejak Januari tahun ini selepas menjalani pembedahan pada lututnya.
Beliau menaruh harapan tinggi untuk kembali memegang raket tenis pada kejohanan yang ditunda ke Februari itu di Melbourne.
“Roger yang mengejar masa untuk mempersiapkan diri menjelang Terbuka Australia nampaknya tidak kesampaian.
“Dia agak terlambat untuk kembali pulih sepenuhnya sebelum jadual kejohanan itu, ia agak berbahaya jika dia paksa diri untuk bersiap kembali,” kata pengarah kejohanan itu Craig Tiley.
Untuk rekod, Federer telah berentap dalam Terbuka Australia selama 22 tahun berturut-turut dan inilah kali pertama dia bakal terlepas aksi itu atas faktor kesihatan.
Namun ejen yang mewakili Federer mendakwa keputusan itu adalah langkah terbaik berjangka panjang untuk beliau.
Federer dalam aksi terakhir Terbuka Australia Januari lalu telah tewas kepada Novk Djokovic dalam pusingan separuh akhir.
Pada Februari lalu, dia menjalani pembedahan artroskopik pada lutut kanannya.
Harapannya untuk kembali ke gelanggang pada Julai lalu tidak kesampaian apabila dia terpaksa menjalani satu lagi pembedahan pada Jun lalu di lutut kirinya.
Federer kini menjalani latihan kecergasan di Dubai namun masih belum selamat dan pulih sepenuhnya untuk ke gelanggang.-MalaysiaGazette