KUALA LUMPUR – Penyerang Terengganu FC II (TFC II), Engku Nur Shakir Engku Yacob tidak menyangka tercalon buat kali pertama dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual memandangkan ini adalah musim pertama dia beraksi penuh dalam Liga Malaysia.
Shakir yang tercalon dalam kategori Penyerang Terbaik menyifatkan pencalonan pada tahun ini memberi seribu satu makna apabila musim 2020 merupakan permulaan cemerlang untuknya di pentas Liga Malaysia di mana sebelum ini dia beraksi dalam saingan Piala Presiden bersama TFC III dan hanya beberapa kali dipinjamkan ke TFC II.
Justeru, pemain muda berusia 22 tahun ini tidak menduga aksinya bersama TFC II untuk meledak empat gol secara keseluruhan saingan Liga Premier 2020 meletakkan Shakir sebaris dengan calon-calon lain yang nyata lebih berpengalaman bagi merebut trofi ABK20 Virtual.
Bagaimanapun, Shakir melihat penyerang Perak, Shahrel Fikri merupakan calon yang paling layak untuk mengungguli kategori tersebut berdasarkan statusnya selaku penjaring tempatan terbanyak dengan 10 gol secara keseluruhan.
“Ini baru tahun pertama saya beraksi dalam saingan Liga Premier dan semestinya saya agak terkejut apabila tahu dicalonkan untuk ABK20, apatah lagi hanya tiga orang sahaja calon tempatan yang ada, manakala yang lain-lain adalah penyerang import.
“Sememangnya pencalonan ini memberi saya semangat dan motivasi yang lebih tinggi untuk melakukan yang lebih baik pada tahun hadapan kerana saya bakal beraksi dalam Liga Super bersama skuad utama (TFC), dan harap lebih banyak gol dapat dijaringkan.
“Apa-apa pun, saya tidak letak harapan tinggi sangat, sebab secara peribadi, saya rasa Shahrel layak untuk menang, dan kalau boleh mana tahu rezeki saya pada tahun depan untuk cuba menjadi sepertinya pula,” jelasnya.
Antara calon lain yang turut tersenarai bagi kategori Penyerang Terbaik adalah Ramadhan Saifullah Usman (JDT), Diogo Luis Santo (JDT), Ifedayo Omosuyi (Selangor), Casagrande (Pulau Pinang), Dominique Da Sylva (Terengganu FC), Fernando Rodriguez (JDTI II), Francis Kone (Kuala Lumpur), dan Tchetche Kipre (Kedah).
Sementara itu, penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi mengakui persaingan yang cukup sengit dalam kategori Penjaga Gol Terbaik pada tahun ini untuk menentukan pemenang yang betul-betul layak membawa pulang trofi.
Dua musim beraksi dalam saingan CIMB Liga Super bersama PJ City FC nyata memberi pengalaman cukup berharga kepada penjaga gol berusia 25 tahun ini untuk akhirnya tercalon buat kali pertama .
“Untuk saya, dapat tercalon pun dah rasa bersyukur sangat sebab saya tahu bukan senang untuk berada dalam 10 terbaik bersama pesaing-pesaing lain yang lebih hebat.
“Ini musim kedua saya beraksi dalam Liga Super, dan saya boleh katakan musim 2020 adalah yang terbaik untuk saya dan sekurang-kurangnya kami dapat menamatkan aksi di tangga ketujuh musim ini.
“Untuk menang, saya tahu agak susah dan saya boleh katakan Khairulazhan Khalid (Selangor) mungkin boleh cipta kejutan selain kita juga tahu Farizal Marlias (JDT) merupakan calon pilihan,” katanya.
Enam lagi calon lain bagi kategori Penjaga Gol Terbaik adalah Iqbal Suhimi (Kuching FA), Remezey Che Ros (UKM FC), Sharbinee Allawee (Pahang), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka), Suhaimi Husin (TFC II), Samuel Somerville (Pulau Pinang) dan Zamir Selamat (Kuala Lumpur).
ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.
Undian yang telah dibuka kepada semua penyokong sejak 21 Disember 2020 dan berakhir pada Jumaat lalu.
Keputusan semua pemenang akan diketahui secara virtual hari ini. – MalaysiaGazette