KUALA LUMPUR – Menghampiri usia 50 tahun tidak pernah menjadi penghalang buat Rozita Che Wan membuktikan dia masih relevan sebagai heroin.
Selepas lebih 13 tahun menceburi dunia lakonan, ibu kepada tiga cahaya mata itu sudah melalui zaman kegemilangan sebagai heroin drama dan telefilem.
Bagaimanapun, pelakon dan ahli perniagaan yang mesra disapa dengan nama Che Ta itu sentiasa berpijak di bumi nyata dalam soal mempertimbangkan tawaran berlakon.
Selepas kembali aktif sejak memperlahankan rentak lakonan kerana memberi tumpuan bisnes, dia diberi watak pembantu termasuk menjadi ibu atau kakak.
Beberapa bulan lalu, Che Ta diberi peranan utama dalam drama Family Spy bergandingan dengan Alif Satar. Baru baru ini dia membintangi telefilem Kuba Guling Karipap Pusing terbitan Pena Creative sebagai heroin di sisi Azlee Khairi untuk siaran Awesome TV.
Ketika ini dia menjalani penggambaran memegang watak utama menerusi drama 13 episod, Dia Isteriku arahan Ayie Mustafa untuk TV Al Hijrah.
“Kalau penyanyi sendiri mempertaruhkan kepada lagu yang baik untuk melonjak naik, saya percaya pelakon juga bergantung kepada skrip untuk terus membuktikan kemampuannya mewarnai watak diamanahkan.
“Kalau drama itu nak heroin berusia 25 tahun atau yang lebih muda, saya mungkin sudah tidak layak. Namun kalau ada skrip memerlukan watak yang bersuami muda atau pergolakan wanita matang, saya boleh mencubanya. Tawaran sebegini bukan datang selalu. Tapi peluang yang datang saya takkan mempersiakannya.
“Soal watak utama ini contohnya berbalik kepada kepercayaan produksi dan pihak penerbit. Alhamdulillah saya masih boleh membuktikan bakat yang dimiliki. Di luar negara sendiri, kita tahu semakin berpengalaman dan meningkat usia, pelakon itu terus diberi watak penting,” katanya.
Sejak beberapa bulan lalu, rezeki Che Ta terus murah kerana sibuk dengan komitmen kerja.
“Selain drama saya juga terbabit sebagai hos seperti program Ujian Menantu menampilkan anak sulung, Ammar Effendy mencari bakal isteri. Saya juga menjadi panel program fesyen Glamketengglam dihoskan Zizan Razak.
“Untuk drama Dia Isteriku nanti, selepas berpisah dengan bekas suami lakonan Datuk Fizz Fairuz, watak saya sebagai Aisyah dalam cerita itu berkahwin dengan lelaki muda lakonan Hafidz Roshdi.
“Shalma Eliana jadi anak saya. Dalam tempoh sama, saya sibuk membahagi masa dengan urusan bisnes dan keluarga,” katanya.
Tanggal 11 Disember lalu, pelakon drama Lelaki Lingkungan Cinta dan Suri Katriana ini menyambut ulangtahun perkahwinannya yang ketujuh bersama Zain Saidin.
“Fasa turun naik dalam berumah tangga itu lumrah. Namun saya percaya tolak ansur itu perlu. Saya berharap perkahwinan ini akan kekal sampai syurga,” katanya. – MalaysiaGazette