Home Seni Hidup Fahami hukum Islam sebelum meraikan sambutan agama lain

Fahami hukum Islam sebelum meraikan sambutan agama lain

Ahmad Marzuk Shaary

PUTRAJAYA – Umat Islam tidak dibenarkan meraikan perayaan agama lain dan setiap amal perbuatan mereka perlu mengikuti lunas-lunas yang telah ditetapkan.

Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, dalam soal melahirkan perlambangan yang bersifat perayaan tetapi lebih kepada keagamaan, sepatutnya umat Islam perlu memahami soal hukum.

“Yang pertama nasihat saya, setiap amal perbuatan yang hendak buat dalam bentuk meraikan kepelbagai kaum dalam negara kita mestilah mengikuti lunas-lunas hukum yang telah ditetapkan oleh agama kita.

“Soal ucapan itu pun berbeza pendapat di kalangan para ilmuan dan alim ulama Islam, tetapi dalam soal melahirkan perlambangan yang lebih bersifat walaupun perayaan tapi ia lebih keagamaan, jadi itu sepatutnya apa yang buat perlu memahami soal hukum.

“Saya bukan mufti untuk menentukan apa yang dizahirkan namun daripada pengetahuan saya, cara seperti itu tidak boleh dibolehkan dalam agama Islam,” katanya.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary (kiri) beramah mesra bersama Presiden Persatuan OKU Sentral merangkap Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Ras Adiba Radzi pada Majlis Penyerahan Bantuan Musaadah Covid 19 JAKIM-YWM di Kompleks Islam, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 DISEMBER 2020.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan Tabung Musaadah Covid-19 di sini hari ini.

Sumbangan bernilai RM50,000 itu disampaikan kepada Presiden OKU Sentral, Senator Ras Adiba Radzi.

Beliau diminta mengulas sambutan Krismas baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila perayaan itu turut diraikan golongan selebriti beragama Islam yang memuat naik foto mereka di Instagram yang melibatkan pakaian, topi Santa Claus dan pokok hiasan.

Antara yang menjadi kecaman netizen adalah Awal Ashaari dan isteri, Scha Alyahya, keluarga pengacara Marion Caunter dan pelakon, Fasha Sandha.

Dalam penjelasan mereka, Awal berkata, dia hanya mematuhi kod pemakaian yang ditetapkan tuan rumah dan Fasha pula mempersoalkan sama ada memakai sari atau cheongsam juga haram. – MalaysiaGazette