KUALA LUMPUR – DAP didakwa hanya pandai bermain wayang berhubung nasib perkhidmatan feri Pulau Pinang, lantaran itu parti tersebut diminta jangan sesekali bercakap kosong tanpa sebarang tindakan.
Setiausaha Parti Gerakan Pulau Pinang, Hng Chee Wey berkata, pemimpin DAP mengatakan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang berusia 126 tahun itu mempunyai nilai sejarah dan merupakan pengangkutan ikonik untuk negeri itu.
Tambah beliau, keputusan kerajaan pusat menamatkan perkhidmatannya telah mengabaikan warisan dan sejarah unik Pulau Pinang.
Namun, katanya, sekiranya DAP ikhlas dalam usaha memelihara perkhidmatan feri, kerajaan negeri harus menyenaraikan perkhidmatan feri dalam senarai warisan negara sebelum nasib feri tergugat pada hari ini.
”Jika kerajaan negeri DAP Pulau Pinang mengambil alih pengurusan feri sebelum ini, maka rakyat Pulau Pinang pada hari ini tidak akan kehilangan feri ikonik dan bersejarah.
”Tetapi, kita masih ingat bahawa pada pertengahan bulan Oktober 2020, Ketua Menteri pada masa itu mengatakan bahawa kerajaan DAP negeri Pulau Pinang tidak berhasrat ambil alih perkhidmatan feri,” katanya dalam kenyataan di sini.
Selain isu feri, kedudukan budaya penjaja di Pulau Pinang juga tidak dapat dipertahankan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang apabila pada Julai 2008, iaitu 12 tahun yang lalu, Georgetown disenaraikan dalam senarai warisan dunia UNESCO.
Namun, 12 tahun kemudian, kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP Pulau Pinang tidak berupaya mengharumkan lagi nama Pulau Pinang di peringkat antarabangsa.
Kehilangan pengiktirafan budaya penjaja di peringkat antarabangsa ini amat merugikan bagi negeri Pulau Pinang, dan tidak boleh diterima langsung kerana diketahui orang ramai bahawa Pulau Pinang merupakan syurga makanan yang terkenal di seluruh dunia.
Selain daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO Georgetown, ramai pengunjung yang mengunjungi Pulau Pinang adalah kerana mahu menikmati makanan lazat di Pulau Pinang.
”Menurut laporan CNN, Asam Laksa Pulau Pinang berada di tangga ke-7 dalam senarai 50 jenis makanan paling enak di dunia dan nasi ayam Singapura berada di tangga ke-45.
“Ini membuktikan bahawa makanan di negeri Pulau Pinang memang lazat dan dikenali di seluruh pelusuk dunia yang sepatutnya mendapat pengikhtirafan daripada UNESCO.
”Tetapi dengan kesalnya bahawa, negeri Pulau Pinang tidak mendapat pengiktirafan itu akibat kegagalan atau kurang efisiennya kerajaan negeri DAP membuat permohonan daripada UNESCO untuk menyenaraikan budaya penjaja Pulau Pinang di dalam Senarai Wakil UNESCO Warisan Budaya Bagi Kemanusiaan Yang Tidak Ternilai,” ujarnya lagi.
Hakikat yang berlaku pada hari ini disebabkan kerajaan DAP negeri Pulau Pinang hanya bercakap kosong selama 12 tahun memerintah Pulau Pinang. Begitu juga dengan Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI) yang ditubuhkan pada tahun 2010.
Tambahnya, dalam krisis pandemik Covid-19 ini, banyak industri dan sektor yang terkesan tetapi jika budaya penjaja Pulau Pinang mendapat pengiktirafan itu, sudah tentunya sektor pelancongan negeri akan pulih dengan cepat kerana pengiktirafan tersebut dapat menarik perhatian orang awam di seluruh dunia dan seterusnya melancong ke negeri itu.
Chee Wey berkata, pada Ogos 2018, kerajaan Singapura mengumumkan akan membuat permohonan dengan UNESCO untuk memasukkan budaya penjaja Singapura ke dalam senarai warisan dunia.
Bagaimanapun, kerajaan negeri DAP Pulau Pinang hanya membangkitkan isu ini pada Mei 2019 dengan mengatakan bahawa pihak kerajaan negeri mencadangkan agar budaya penjaja Pulau Pinang dimasukkan dalam senarai itu bersama dengan Singapura.
Tetapi, setelah budaya penjaja Singapura berjaya disenaraikan dalam senarai UNESCO pada 16 Disember 2020, kerajaan DAP Pulau Pinang menyalahkan Kerajaan Pusat yang membantutkan kerja permohonan mereka.
Kerajaan negeri memberitahu bahawa mereka pernah mengutus surat kepada kerajaan pusat dalam perkara ini, tetapi sehingga kini budaya penjaja Pulau Pinang masih tidak disenaraikan dalam senarai warisan negara yang merupakan langkah pertama untuk kita membuat permohonan dengan UNESCO. – MalaysiaGazette
Sama ja dua parti ni. Kuat wayang dong dong cheng