ADEN – Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan lebih 50 lagi cedera dalam serangan di lapangan terbang di sini.
Difahamkan berlaku satu letupan sejurus selepas sebuah pesawat yang membawa pemimpin kerajaan tiba dari Arab Saudi.
Pekerja bantuan dan orang awam lain adalah antara mangsa yang terbunuh.
Manakala perdana menteri dan barisan Kabinet dalam keadaan selamat.
Menteri Penerangan mendakwa pemberontak Houthi menjadi dalang disebalik serangan pengganas ini.
Yaman telah musnah disebabkan peningkatan konflik pada tahun 2015, ketika gabungan negara-negara Arab yang dipimpin oleh Arab Saudi melancarkan operasi ketenteraan untuk mengalahkan Houthi dan mengembalikan pemerintahan Presiden Abdrabbuh Mansour Hadi.
Pertempuran itu telah mengakibatkan lebih daripada 110,000 orang terbunuh, mencetuskan bencana kemanusiaan terburuk di dunia, dengan berjuta-juta orang mengalami kebuluran, menyebabkan negara ini lebih terdedah kepada wabak Covid-19.
Rakaman video kejadian itu menunjukkan berlaku letupan besar ketika penumpang mula meninggalkan pesawat.
Orang ramai yang berkumpul di landasan untuk menyambut para menteri melarikan diri ketika asap tebal meletus dari terminal lapangan terbang, disusuli bunyi tembakan kedengaran tidak lama kemudian.
Menteri Kerjasama Antarabangsa, Najeeb al-Awj mendakwa kedengaran dua letupan.
Sebabnya tidak jelas, tetapi sumber keselamatan memberitahu agensi berita Reuters bahawa tiga peluru mortar mendarat di terminal.
Rangkaian televisyen Al-Hadath berkata, rakaman video menunjukkan tiga peluru berpandu membedil kawasan landasan.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) memaklumkan seorang anggota kakitangan terbunuh dalam serangan tersebut dan dua yang lain tidak dijumpai dan tiga lagi cedera.
“Kakitangan kami bergerak melalui lapangan terbang bersama orang awam yang lain. Ini adalah hari yang tragis bagi kami dan penduduk #Yemen,” tweetnya.
Laman web berita Yaman Al-Masdar Online melaporkan Setiausaha Kementerian Buruh, Yasmin al-Awadhi, terbunuh dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Moneer al-Wajeeh dan Timbalan Menteri Pengangkutan Nasser Sharif adalah antara individu yang cedera.
Namun, Perdana Menteri, Maeen Abdulmalik Saeed mendakwa beliau dan Kabinetnya selamat daripada serangan itu.
“Tindakan pengganas pengecut yang mensasarkan lapangan terbang Aden adalah sebahagian daripada perang yang sedang dilakukan terhadap negara Yaman dan rakyatnya,” tambahnya, tanpa menunding jari kepada pemberontak Houthi. – MalaysiaGazette