Home Pendapat Pengurusan sisa pepejal negara perlu perubahan drastik

Pengurusan sisa pepejal negara perlu perubahan drastik

Sekumpulan burung kelihatan bersama sisa pepejal ketika tinjauan Malaysia Gazette ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2020

ISU pengurusan sisa pepejal di Malaysia masih belum menemui jalan penyelesaian biarpun pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan untuk menangganinya sehinggalah  Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 memaklumkan bahawa berlakunya ketidakpatuhan terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi pengoperasian tapak pelupusan dan Loji Rawatan Leachate (LTP).

Pengurusan pelupusan sisa pepejal di tapak pelupusan dan loji insinerator di bawah seliaan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) didapati kurang cekap dan kurang berkesan menyebabkan risiko pencemaran kepada alam sekitar.

Pensyarah Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT), Prof. Madya Dr. Wan Mohd Faizal Wan Ishak berkata, faktor utama berlakunya masalah pengurusan pepejal ini adalah berikutan dari empat loji incinerator yang telah diluluskan pembinaannya, tiga daripadanya dilaporkan mengalami masalah kelambatan pemasangan, menyebabkan sisa pepejal yang sepatutnya diproses oleh mereka terpaksa dihantar ke tempat lain.

Katanya, peralatan yang digunakan  itu menggunakan teknologi yang diimport dari luar negara yang menyebabkan berlakunya kelewatan penghantaran dan kos yang berubah (di sebabkan perubahan pertukaran wang asing) akan menjadi alasan pihak kontraktor.

“Kita tidak tahu sejauh mana teknologi itu dikaji dengan kesesuaian sisa pepejal tempatan yang semestinya berbeza ciri-cirinya berbanding dengan negara asal insinerator berkenaan dan masalah akan timbul berkaitan dengan penyelenggaraan, guna tenaga yang tinggi dan pencemaran sekunder.

“Penggunaan sanitary landfilling adalah keadah konvensional yang agak ketinggalan zaman dan keadaan iklim dengan jumlah taburan hujan yang tinggi akan menyebabkan penghasilan leacheat yang akan mencemarkan kawasan sekitar serta memasuki aliran air bawah tanah.

“Proses pereputan yang lambat menghasilkan bau busuk yang melampau dan ini menyebabkan kawasan sekitar akan dijauhi oleh penduduk sekitar yang secara tidak langsung boleh menyebabkan  dengan nilai tanah atau perumahan di situ akan jatuh secara mendadak  kerana ramai yang tidak yang sanggup untuk mendiami di kawasan sekitar,” katanya.

Justeru, Prof. Madya Dr. Wan Mohd Faizal mencadangkan pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk pengurusan sisa pepejal ini  yang bergantung kepada apa matlamat akhir yang kita inginkan.

Katanya, sekiranya sisa pepejal ini boleh kita anggap suatu bahan mentah yang berguna dan jika sekiranya kita proses dengan baik, ia boleh memberikan pulangan yang lumayan.

“Antara produk akhir yang kita perolehi adalah seperti gas metana, bahan kompos dan beberapa bahan lain, bergantung kepada komposisi sisa berkenaan.

“Manakala kaedah penggunaan teknologi insenerator memerlukan perbelanjaaan awal yang begitu tinggi malah komposisi air yang tinggi dalam sisa pepejal ini seperti di Malaysia menyebabkan tenaga yang tinggi untuk mengoperasikannya.

“Teknologi seperti ini masih belum boleh dibangunkan secara menyeluruh di Malaysia menyebabkan kita terpaksa bergantung dengan negara luar.  Kos untuk mengoperasikan sistem ini juga tinggi dan tenaga yang di hasilkan oleh insinerator ini tidak dapat menampung keperluan tenaga pengoperasiannya,” katanya.

Beliau menambah, walaupun insinerator berkenaan telah digunakan dengan baik oleh negara luar berkenaan, namun ia tidak semestinya berkesan untuk kegunaan tempatan. Kaedah ini boleh dilaksanakan di negara berkenaan kerana komposisi sisa pepejal mereka yang berlainan.

“Kekurangan data bagi komposisi sisa pepejal akan menyukarkan pembekal insinerator untuk menghasilkan spesifikasi yang sesuai untuk kegunaan negara kita.

“Penghasilan gas metana dari sisa pepejal juga memerlukan prasarana yang besar bagi memulakannya kerana bahan lecheat dan bau yang busuk tetap akan terhasil dan ini agak tidak menyenangkan bagi kawasan sekitar.

“Nilai hartanah di kawasan tersebut menjadi rendah dan menimbulkan ketidakselesaan bagi orang yang berada di kawasan berhampiran yang hasilnya yang tidak seberapa dan terhad serta harga pasaran yang begitu rendah, ia bukanlah suatu langkah yang bijak,” katanya.

Menurut Prof. Madya Dr. Wan Mohd Faizal, kempen pengasingan sampah masih belum menampakkan kesan yang baik di mana sokongan lanjutan kepada proses ini perlu diperkemaskan lagi bagi mencapai matlamat pelaksanaannya.

“Tiada guna melakukan pengasingan di punca jika sekiranya semua sampah itu tadi, akhirnya di buang di tempat yang sama, tanpa mengadakan pilihan-pilihan kepada pelupusannya,” katanya.

Sementara itu, pihak FBKT mencadangkan supaya kaedah pengurusan sisa pepejal negara perlu melakukan perubahan secara total menerusi kelebihan bioteknologi bagi memproses sisa pepejal yang boleh dilakukan sama ada berskala besar atau kecil dan tidak memerlukan perbelanjaan yang begitu besar.

Beliau berkata pengurusan pepejal boleh dilaksanakan di setiap taman perumahan atau kampung dengan menyediakan prasarana yang kecil.

Katanya, air leacheat boleh dielakkan dan jika sekiranya ada, boleh di alirkan kembali bersama sisa pepejal itu tadi untuk di proses bersama kerana tiada pencemaran bau akan berlaku dan tidak menyebabkan tanah di sekitar mengalami susut nilai.

“Bahan kompos yang terhasil boleh di gunakan untuk pertanian dengan sedikit penambahan bahan N, P dan K boleh dibuat mengikut kesesuaian tanaman. Ia adalah suatu proses yang mudah, cepat dan selamat serta mendatangkan banyak faedah dengan menggunakan kos yang amat rendah.

“Kaedah ini boleh dibangunkan oleh FBKT UMK dengan menggunakan kepakaran tempatan yang sesuai dijadikan projek komuniti dengan kos yang rendah,” katanya.
 
Prof Madya Dr Wan Mohd Faizal Wan Ishak adalah pensyarah di Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT)