Home Seni Hidup Berniaga sambil beramal ala Mekja’sKitchen

Berniaga sambil beramal ala Mekja’sKitchen

Pemilik Mekja’s Kitchen, Rosniza Mohamad (kiri) dan suami, Raja Shamsul Bahren Raja Amza menunjukkan nasi arab yang disumbang kepada Malaysia Gazette di Pejabat Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Berniaga sambil beramal.

Itu yang dilakukan oleh Raja Samsul Bahren Raja Amzah, 50, dan isterinya Rosniza Mohamad, 49, apabila mengusahakan perniagaan makanan sejak dua tahun lalu.

Pasangan tersebut yang pernah bertugas sebagai pengamal media memberitahu, selain mata pencarian selepas berhenti kerja, apa yang dilakukan mereka juga lebih untuk membuat kerja-kerja amal.

Menceritakan mengenai usahanya itu, Rosniza atau lebih mesra dipanggil Mekza berkata, beliau bersedia menerima sumbangan daripada pihak-pihak tertentu dan juga individu yang mahu mereka menyediakan hidangan untuk disedekahkan.

Katanya, juadah yang disediakan bergantung kepada berapa banyak sumbangan yang diterima, kuantiti hidangan disediakan adalah berdasarkan kepada tempahan jenis makanan yang hendak dimasak.

“Ada yang minta kami buatkan nasi tomato, nasi Arab, nasi kerabu dan bermacam-macam lagi.

“Semua tempahan makanan itu kami hantar terus ke tempat-tempat yang pelanggan kami minta biasanya masjid, rumah anak yatim dan pusat tahfiz.

“Perasaan melihat anak-anak yatim tersenyum menerima sumbangan menjadi kepuasan kepada kami sebenarnya,” katanya yang merupakan pemilik Mekja’s Kitchen kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Selain itu sumbangan yang diterima juga disumbang kepada petugas barisan hadapan seperti di hospital, pasukan bomba dan polis.

Rosniza lagi turut mengambil tempahan katering untuk pelbagai majlis sama ada kenduri dan majlis perkahwinan.

Sesiapa berminat boleh menghubunginya dan suami di talian 012-215 7335 dan 011-11260343.- MalaysiaGazette