Home Utama Keluarkan fatwa tanpa ilmu adalah satu dosa – Mufti Pahang

Keluarkan fatwa tanpa ilmu adalah satu dosa – Mufti Pahang

KUANTAN – Mana-mana pihak yang tidak tahu mengenai fatwa tetapi bertindak mengeluarkan sesuatu fatwa kepada orang ramai adalah melakukan satu dosa kerana berbuat demikian tanpa ilmu.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata sekiranya fatwa yang dikeluarkan itu menyimpang daripada landasan Islam sebenar, ia boleh mendatangkan fitnah sekali gus memecahbelahkan masyarakat.

“Orang yang tidak tahu fatwa, (tetapi) dia mengeluarkan fatwa,… dia melakukan satu dosa (kerana) mengeluarkan fatwa tanpa ilmu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

BERNAMA melaporkan Abdul Rahman mengulas tentang kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa jemaah yang menunaikan haji menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pemberian kerajaan tidak akan mendapat haji mabrur.

Dr Mahathir dalam kenyataan berkenaan dipetik berkata haji tidak mabrur itu disebabkan wang haram yang dikatakan dicuri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abdul Rahman berkata tiada bukti jelas dan sahih mengikut undang-undang mengatakan wang berkenaan adalah hasil curi, sekali gus menjadi haram kepada umat Islam di negara ini menggunakan wang itu untuk menunaikan haji.

“Kita tidak dapat menentukan status halal atau haram wang tersebut kerana dengan jelas tidak ada bukti sahih, ia hanya sekadar tohmahan pihak pembangkang lebih-lebih lagi yang memang cuba hendak menjatuhkan dan memburukkan kerajaan.

“Saya sebagai Mufti Pahang pun tidak berani membuat (sebarang) kenyataan tanpa bukti, apabila tidak ada bukti, dari segi syarak dan kaedah feqah, kita menghukum di atas benda yang zahir sahaja, dan Allah SWT sahaja menghukum perkara-perkara yang batil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata hanya Allah yang berhak menentukan sama ada ibadah haji seseorang itu mabrur ataupun tidak kerana mabrur bukan sesuatu yang boleh diukur.

“Kalau kita hendak membuat perbandingan dengan ibadat lain seperti sembahyang, sembahyang kalau seseorang itu cukup rukun dan syarat, dari segi zahir sembahyang ini sah, begitu juga haji yang dilakukan menepati kehendak rukun syarat haji, maka sah ibadah haji seseorang itu,” katanya. – MalaysiaGazette