KUALA LUMPUR – Penduduk negara ini sudah tidak peduli bila pilihan raya akan diadakan.
Kini apa yang penting bagi mereka kebajikan terjaga dan keadaan ekonomi terpelihara, lain daripada itu mereka tidak ambil pusing.
Malah adalah tidak menghairankan jika sebahagian besar rakyat tidak keluar mengundi jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan., kata Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), S Thiban berhubung sentimen rakyat dengan politik flip flop’ politik.
Beliau yakin keadaan PRU akan datang tidak akan sama seperti dahului yang mana rakyat tidak begitu teruja untuk keluar mengundi.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah runtuh dan sedang membina kekuataan ketika ini tetapi hakikatnya tahun 2020 telah memberi pengajaran cukup berguna kepada semuanya terutamanya ahli PKR dan AMK itu sendiri.
“Kami belajar tentang pengkhianatan. Bukan sahaja kami dalam parti sebaliknya rakyat secara keseluruhannya. Bayangkan kerajaan yang mereka undi sehingga menjadi realiti menjadi kerajaan akhirnya tumbang.
“Isu utama buat mereka, kebajikan mereka terjaga itu sahaja,” katanya ketika menjadi salah seorang panelis program REVIU 2020 yang disiarkan menerusi Facebook Live MalaysiaGazette malam tadi.
Program REVIU 2020 yang mengupas pelbagai isu sepanjang tahun 2020 turut dihadiri dua lagi panelis iaitu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Khaidiriah Abu Zahar dan Prof Madya Dr Azmi Hassan.
Thiban berkata, retorik politik sudah tidak lagi relevan di mata rakyat yang kini hanya mahu kehidupan serta masa depan mereka lebih terjamin.
“Baru-baru ini Belanjawan 2021 telah diluluskan kerana ada keperluan untuk menjaga rakyat bukannya berpolitik.
“Janganlah fikir dengan lulusnya bajet itu, semuanya ok di mata rakyat sekalipun. Langkah proaktif telah diambil untuk luluskan bajet untuk kegunaan rakyat tetapi hanya kestabilan politik dapat memacu keadaan ekonomi lebih baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette