Home Politik UMNO jangan berlagak seperti tuan – Khaled

UMNO jangan berlagak seperti tuan – Khaled

Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin hari ini mengajak semua kepimpinan parti dan ahlinya untuk kembali ke realiti sebenar dan perlu berpijak di bumi yang nyata.

Katanya, biarpun parti itu kini menjadi sebahagian daripada pemerintah, Khaled berkata parti itu tidak boleh lagi berlagak seperti ‘tuan’ seperti sebelum ini.

“Sekalipun UMNO adalah dalam kerajaan memerintah kita tidak boleh sesekali berlagak sebagai tuan, ujian sebenar UMNO menanti di medan pilihan raya yang akan datang.

“Janganlah kita lupa bahawa kuasa yang kita miliki waktu ini dirampas tanpa mandat rakyat yang sebenar.

“Ingatlah akhirnya dalam sedikit masa lagi rakyat juga akan menentukan destinasi UMNO seterusnya kenapa saya mengajak perwakilan untuk berpijak di bumi yang nyata ini dan memahami realiti sebenar kedudukan politik semasa sebabnya ada satu kerana saya tidak mahu wujudnya sikap sombong dalam diri kita.

“Sikap lupa daratan berkonsep tuan yang sentiasa hebat dan yang tidak berkesudahan hikmah melalui berpesan bagaimana bunyi gendang begitulah tarinya namun kita semua bertindak sebaliknya kita berfikir, bertindak dan bercakap seolah-olah kita menguasai kerajaan,” katanya ketika merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang hari ini.

Tambah bekas Menteri Besar Johor itu lagi, UMNO membentuk kerajaan bukan kerana parti itu memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu tetapi hakikatnya parti itu ditolak oleh rakyat.

Ujarnya lagi, UMNO kalah bukan kerana partinya tidak kuat namun disebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak berpengalaman menjadikan ia kerajaan yang paling singkat dalam sejarah negara.

“Kita ditolak cuma kita bernasib baik kerana kerajaan PH sangat tidak berpengalaman mereka kemaruk kuasa alpa dengan kewajiban nikmat berkuasa menyebabkan mereka saling bercakaran sehingga mereka terhukum dengan tindakan sendiri, mereka bercakaran akhirnya kita yang untung tetapi apalah yang nak dibanggakan dengan keadaan sebegini,” katanya lagi.

Khaled juga berkata UMNO kini seakan lupa kepada faktor pembaharuan parti setelah kembali mendapat kuasa.

Beliau berkata UMNO jangan lupa bahawa parti itu pernah ‘dihukum’ oleh rakyat ketika di kemuncak kuasa.

“Tiada siapa lagi yang bercakap tentang usaha reformasi UMNO seolah-olah UMNO ini telah sempurna. Adalah sangat menyedihkan jika UMNO lupa kepada kepentingan pembaharuan dan kebajikan parti kerana tiada jalan terbaik dan terpenting untuk menguasai kerajaan pada masa hadapan kecuali UMNO benar-benar berubah dan memaparkan keunggulan yang baru kembali kepada asalnya kembali kepada menjadi jurucakap bangsa kembali menjadi parti yang diyakini bangsa kembali menjadi pusaka hati bangsa,” ujar beliau.

UMNO yang merupakan tunjang kepada Barisan Nasional (BN) kalah teruk pada PRU14, Mei 2018 apabila kehilangan kuasa buat pertama kalinya.

Ia selepas gabungan PH yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diisytiharkan memenangi PRU14 dengan 139 kerusi menerusi komposisi empat parti komponen dengan sokongan parti dari Sabah diikuti BN dengan 79 kerusi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Kenapa ckp kat perwakilan saja… Cakaplah depan2 MT, sape yg dah expired, tak relevan baik undur diri… sama juga yang dah kalah sebelum ni … masih ingt winable lagi ke… samdolable adalah… no body is nonreplaceable… nak tunggu kalah 2,3,4 kali ke…

  2. Kalau UMNO ingat mereka masih kuat tanpa bergabung dengan parti2 melayu..mereka silap..bnyak sgt yg dah kalah PRU 14 ingat UMNO masih kuat mcm dulu..sedar2 la..

Comments are closed.