KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Indonesia, anak lelakinya serta seorang pelajar ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Indonesia (POLRI) berhubung kes penghinaan lagu Negaraku dan Indonesia Raya.
Suspek berusia 40 tahun berjaya ditahan bersama anaknya dalam serbuan di Lahad Datu, Sabah pada 28 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek ketiga juga seorang warga Indonesia ditahan pihak berkuasa republik tersebut.
Katanya, PDRM mengesahkan telah menerima laporan polis terhadap pemilik akaun YouTube MY Asean yang memuat naik video penghinaan lagu kebangsaan Indonesia serta pemilik akaun YouTube Asean Channel ID yang menghina lagu Negaraku.
“Video di kedua-dua Youtube tersebut telah dipadam tetapi dimuat naik di beberapa aplikasi media sosial lain dan ditularkan sehingga menimbulkan pelbagai reaksi negatif di kedua-dua negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan dijalankan mendalam oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Hasil daripada siasatan yang dijalankan dan dengan bantuan ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah, seorang lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 40-an telah ditahan bersama anak lelakinya di Lahad Datu, Sabah pada 28 Disember lalu bagi membantu siasatan,” kata Huzir.
Tambah beliau, dalam perkembangan kes sama, dengan jaringan kerjasama di antara PDRM dan POLRI, seorang lagi suspek berjaya ditahan di Jawa Barat Indonesia.
Katanya tangkapan dibuat pada 31 Disember lalu sekitar jam 8 malam.
“POLRI telah berjaya menahan seorang pelajar warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam pembikinan video Lagu Indonesia Raya yang diubahsuai liriknya sehingga menghina negara berkenaan di sebuah rumah di kawasan Cianjur.
“Turut dirampas dari suspek pelajar itu adalah sebuah telefon bimbit, satu kad sim dan set komputer yang dipercayai digunakan untuk suntingan lagu dan penularan video tersebut.
“Setakat ini butiran identiti tangkapan berkenaan masih belum didedahkan oleh POLRI,” katanya lagi.
Beliau menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak,berhemah dan tidak menggunakan platform media sosial sehingga boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu-gugat keharmonian negara.
Tegasnya tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja cuba mewujudkan suasana tidak harmoni dan boleh mencetuskan provokasi serta ketegangan di antara kedua-dua negara.- MalaysiaGazette
Yang baling najis tahi indon ke kedutaan Malaysia susulan nelayan Malaysia mencerobohi perairan indon yang tiada berpagar dan tak nampak tebing pun pernah kena tangkap tetapi dibebaskan oleh mahkamah indon mendapati perbuatan tersebut tidak menyalahi undang-undang indon, kan?