Home Politik Tidak wajar dedahkan rakyat dengan risiko jangkitan Covid-19, kata Asyraf Wajdi

Tidak wajar dedahkan rakyat dengan risiko jangkitan Covid-19, kata Asyraf Wajdi

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. foto SAFWAN MANSOR, 09 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Memasuki tahun baharu, majoriti rakyat terdesak memerlukan wang apatah lagi sesi persekolahan bakal bermula pada 20 Januari ini.

Berikutan itu Ketua Pemuda Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, adalah tidak wajar mendedahkan rakyat kepada risiko jangkitan Covid-19 hanya kerana mereka perlu bersesak ke pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk merayu dan menyerahkan dokumen bukti untuk melayakkan mereka mengeluarkan wang menerusi  kategori 2 i-Sinar.

“Pada 20 haribulan Januari ini sesi persekolahan baharu akan bermula. Rakyat terdesak perlukan tunai. Ramai yang memang susah ketika ini.

“Suasana pandemik ini adalah suatu yang luar biasa, mungkin sekali dalam seratus tahun. Tindakan juga perlu luar biasa,”katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Beliau turut memuatnaik keratan laporan berita tentang penutupan cawangan KWSP di beberapa buah negeri untuk disantitasi selepas kes Covid-19 dikesan.

Sehubungan itu Asyraf mengulangi gesaannya agar kerajaan menunaikan permintaan rakyat untuk mengeluarkan wang menerusi program i-Sinar tanpa syarat.

Pada 7 Disember lalu, KWSP menyatakan tidak ada sebarang perubahan terhadap kriteria semasa i-Sinar akan dilakukan.

Pencarum yang ingin mengeluarkan wang mereka daripada Akaun 1 perlu memenuhi kriteria antaranya ahli tidak mencarum dengan KWSP sekurang-kurangnya dua bulan berturut-turut atau ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus ke atas selepas 1 Mac 2020.-MalaysiaGazette