KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diyakini akan bertanding melawan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Bersatu kini sedang berusaha untuk merobohkan kubu-kubu kuat parti itu dengan cara ‘mencuri’ ahli mereka.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar Ketua-ketua Cawangan dan Bahagian menjalankan tanggungjawab memastikan agar perkara tersebut tidak terjadi.
“Bersatu sedang menerobos ke kubu-kubu kita. Jadi kita kena jaga UMNO bahagian cawangan, kena kawal jangan biarkan Ahli Cawangan dibeli, Ahli Cawangan kita dicuri. Jangan!
“Apabila berlaku perkara-perkara sebegitu dicuri atau diterobos bermakna ketua cawangan tidak bertanggungjawab. Jangan benarkan sama sekali.
“Saya nak ingatkan ini kita jadi pemimpin kena ada tanggungjawab bukan hanya atas nama. Kalau semua jaga kubu pertahanan ini UMNO tidak akan kalah dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak 2020.
Tambah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, Bersatu akan menggunakan pengaruh sebagai kerajaan Persekutuan, jawatan dan tawaran projek untuk mengaburi mata ahli-ahli UMNO di semua peringkat untuk meninggalkan parti itu.
“Bersatu, saya percaya mereka akan bertanding melawan kita mereka ada duit, ada pengaruh, ada jawatan projek dan sebagainya semua ini akan digunakan menjadi umpan ahli-ahli UMNO di semua peringkat.
“Sebab itu ada yang lompat parti, berapa ramai dari UMNO sudah lompat?” soal beliau.
Justeru katanya, semua benteng pertahanan UMNO perlu dijaga rapi bagi memenangi PRU-15.
Ujar Ahli Parlimen Pasir Salak itu, UMNO berisiko untuk tidak dapat bangun semula sekiranya berhadapan dengan kekalahan sekali lagi pada pilihan raya akan datang. -MalaysiaGazette