KUALA LUMPUR – Operasi untuk Taska Genius Perpaduan bagi tahun 2021 akan dimulakan secara berperingkat mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tarikh permulaan operasi ini juga adalah serentak dengan tarikh pembukaan Taska di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kemas di negeri dan daerah masing-masing.
Tarikh-tarikh pembukaan Taska Genius Perpaduan Negara di Kedah, Johor, Terengganu dan Kelantan bermula pada 3 Januari 2021 manakala Perlis, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan daerah Jempol, Negeri Sembilan bermula pada 4 Januari 2021
Di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan daerah Seremban, Negeri Sembilan pula beroperasi pada 15 Januari 2021 dan Labuan pada 11 Januari 2021.
Kementerian Perpaduan Negara berkata, setiap guru hendaklah menjalani ujian Covid-19 sebelum dibenarkan ke Taska Genius Perpaduan, seperti yang diarahkan oleh KKM.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pembukaan Taska Genius Perpaduan diharapkan dapat membantu ibu bapa yang juga telah memulakan waktu kerja secara normal dan memerlukan penjagaan anak-anak semasa mereka berada di tempat kerja.
Beliau juga mengingatkan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke Taska Genius Perpaduan agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan, mengamalkan norma baharu dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri.
Kementerian Perpaduan Negara juga akan memastikan semua Taska Genius Perpaduan mematuhi Garis Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan arahan semasa oleh MKN dan KKM di dalam menjalankan operasi. – MalaysiaGazette