KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau enggan berbalah dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau sebolehnya tidak mahu mengambil kira apa yang diperkatakan oleh Dr. Mahathir, sebaliknya akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang perjuangan serta prinsipnya didukung Pakatan Harapan (PH).
“Itu pandangan dari luar. Tak apalah, Tun Mahathir itu kita sudah kenal lama. Biar sahaja. Apa yang penting, PKR dan PH ambil sikap terbuka dengan sesiapa yang boleh terima dasar, prinsip kita. Kalau setuju kita terima.
“Saya tidak mahu berbalah, apa yang sibuk sangat dengan kenyataan Tun Mahathir.
“Itu minggu sudah, minggu depan lain pula, saya jawab balik. Selagi sesiapa yang landasannya sama seperti tolak rasuah, kronisma dan keangkuhan kita terima,” katanya selepas program santai bersama warga PKR Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Menurut Anwar, apa yang diperkatakannya itu bukan prinsip beliau, sebaliknya ia adalah prinsip PKR dan PH untuk sekian lama.
Pada Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan Anwar dan menyifatkan menyifatkan segala janji dan kata-kata Ahli Parlimen Port Dickson tidak boleh dipercayai.
“Kita tawar kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Plus, tetapi Anwar tolak saya bulat-bulat.
“Saya tawarkan untuk jadi Perdana Menteri selama enam bulan saja, dia tolak. Saya bagi nama Shafie (Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) pun dia tak nak,” kata Dr. Mahathir. – MalaysiaGazette