KUALA LUMPUR – Upacara Thaipusam tidak sepatutnya dipolitikkan tidak kira apa juga tujuan atau niat.
Sebaliknya ada baiknya untuk pihak berwajib tampil dengan garis panduan, nasihat serta peraturan Covid-19 seandainya sambutan Thaipusam ini dibenarkan kelak.
Itu kata jurucakap Parti Gerakan, Mourhrna Reddy yang merasakan perbuatan membicarakan isu tersebut semakin menimbulkan kegelisahan dan perdebatan antara satu sama lain.
“Hakikatnya bukanlah satu keperluan untuk beri pandangan bagi pihak kerajaan mahupun kuil mahupun kritik sesiapa yang ingin melakukan upacara itu di kuil seperti kebiasaan.
“Benar kita sedang hadapi pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan keadaan sebelum ini berubah sekelip mata tapi kini kita sudah hidup dengan norma baharu itu. Semua mempunyai pandangan masing-masing,” katanya yang bercakap atas kapasiti peribadi.
Mourhrna berpandangan, mana-mana penganut Hindu yang merasakan tidak perlu ke kuil di Batu Caves, ia adalah keputusan peribadi.
Malah, sesiapa yang merasakan tidak mahu sebarang kluster baharu dan mahu duduk di rumah bersembahayang, itu juga hak anda.
“Kita juga perlu tunggu jika kerajaan hendak membuat apa-apa pengumuman tentang Thaipusam dalam masa terdekat, lagipun PKPP sudah dilanjut sehingga 31 Mac depan, janganlah kita terus berbicara sehingga timbul kegelisahan dalam kalangan kita lagi,” katanya sebentar tadi.
Masyarakat India tidak perlu berbalah isu sambutan Thaipusam
Beberapa hari lepas Astro Vanaavil dalam slot ‘Viluthugal’ menyiarkan sesi temuramah berkaitan Thaipusam yang akhirnya menimbulkan rasa tidak senang hati segelintir pihak sehingga puluhan laporan polis dibuat.
Malah, Pemegang Amanah Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, Datuk Sivakumar Nadarajah melahirkan rasa kecewa program itu telah mengguris perasaan penganut agama Hindu.
Bagaimanapun, pihaknya sudah ada jangkaan sambutan Thaipusam tidak akan dibenarkan dilakukan secara besar-besaran, selaras dengan garis panduan ketat untuk dipatuhi susulan penularan Covid-19 ketika ini. – MalaysiaGazette
Sembahyang di kuil semasa Thaipusam hak masing-masing – Thinalan