KUALA LUMPUR – Gara-gara membawa ganja di dalam kereta, dua suspek yang terdesak cuba menyogok dua anggota polis sebanyak RM2,900 untuk melepaskan mereka.
Namun cubaan dua suspek itu gagal, sebaliknya mereka ditahan.
Insiden berlaku pada 2 Januari lalu sekitar jam lebih kurang 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner, Anuar Omar berkata, anggota peronda bermotosikal yang sedang membuat rondaan telah menahan sebuah kenderaan jenis Honda City berwarna hitam yang dinaiki oleh dua lelaki tempatan dalam keadaaan mencurigakan di Jalan Klang Lama.
Katanya, ketika ditahan kedua-dua suspek sedang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan dijalankan di dalam kenderaan tersebut, polis berjaya menjumpai dua
balutan rokok mengandungi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 1.90 gram) dalam laci kecil sebelah pemandu.
”Semasa tangkapan dilakukan, kedua-dua suspek cuba memberi sogokan kepada pengadu dengan menawarkan wang sebanyak RM400 dan seterusnya kedua-dua suspek telah menaikkan jumlah wang tersebut sebanyak RM2,900,” katanya dalam kenyataan pagi tadi.
Katanya, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berkenaan tidak menghiraukan tawaran kedua-dua suspek tersebut.
Tambah beliau, kedua-dua suspek berusia 26 dan 32 tahun itu telah ditangkap atas kesalahan dadah dan menyogok polis dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh
membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau
kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Semakan lanjut ke atas suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kedua-dua telah direman bermula 3 hingga 5 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut.
“Bagi kesalahan cubaan memberi sogokan pula akan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette