Home Ekonomi Indeks import November naik 1%, import susut 0.1%

Indeks import November naik 1%, import susut 0.1%

KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport pada November 2020 menunjukkan pertumbuhan positif 1.0% dengan 111.8 mata berbanding 110.7 mata bulan sebelumnya.

Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+8.5%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+1.8%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.5%).

Bagaimanapun, indeks volum eksport jatuh 8.2% berbanding bulan sebelumnya daripada 154.6 mata kepada 141.9 mata.

Kejatuhan ini disumbangkan oleh prestasi lemah indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-27.8%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-11.2%) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-9.1%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim mencatatkan penyusutan 3.5% daripada 144.6 mata kepada 139.5 mata.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan dengan tahun sebelumnya, indeks nilai seunit eksport jatuh 3.2% manakala indeks volum eksport naik 7.8%.

Manakala indeks nilai seunit import menyusut kecil 0.1% berbanding bulan sebelumnya daripada 112.4 mata kepada 112.2 mata pada November 2020. Penyusutan ini disumbangkan oleh prestasi lemah indeks minyak galian (-2.0%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.4%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.2%).

Indeks volum import turut menguncup 1.8% yang disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-18.9%), barang-barang keluaran kilang (-4.0%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-1.6%).

Menurutnya, indeks volum import pelarasan bermusim pada November 2020 merosot 2.1% daripada 134.6 mata
kepada 131.8 mata.

Kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing menyusut 4.2% dan 5.0% berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 1.1% bulan ke bulan daripada 98.5 mata kepada 99.6 mata pada November 2020. Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia turut menunjukkan trend yang sama pada 1.1% daripada 98.6 mata kepada 99.6 mata pada November 2020. – MalaysiaGazette