Home Ekonomi Jualan asing bulan Disember perlahan kepada RM726.97 juta

Jualan asing bulan Disember perlahan kepada RM726.97 juta

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Jualan bersih oleh pelabur asing di Bursa Malaysia pada bulan lalu berjumlah RM726.97 berbanding aliran keluar yang lebih tinggi pada bulan November kepada RM1.03 bilion.
MIDF Research berkata, bagi minggu berakhir 31 Disember, pelabur asing merupakan pembeli bersih dengan aliran masuk sebanyak RM8.89 juta, sekali gus menjadi minggu kedua berturut-turut menyaksikan aliran masuk.
Pelabur runcit dan institusi tempatan pula masing-masing menjual sebanyak RM24.92 juta dan RM24.44 juta ekuiti.
Untuk minggu lalu, peruncit adalah pembeli aktif pada setiap hari dalam seminggu kecuali pada hari Isnin.
Firma penyelidikan itu berkata, aliran masuk bersih terbesar pada hari Selasa dan terkecil pada hari Khamis, masing-masing pada RM104.66 juta dan RM44.06 juta.
“Berlawanan pula dengan institusi tempatan apabila pasaran melihat institusi tempatan sebagai penjual bersih setiap hari kecuali pada hari Khamis.
”Jualan bersih terbesar direkodkan pada hari Rabu pada RM154.98 juta dan pembelian bersih pada hari Khamis kepada RM31.99 juta,” katanya.
Dari segi penyertaan, pelabur runcit mencatat nilai perdagangan harian (ADTV) 48.4%, sementara ADTV pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing turun 48.67% dan 48.72%.
MIDF Research menambah, menjelang berakhirnya tahun 2020, pelabur runcit dan institusi tempatan menjadi pembeli bersih untuk Bursa Malaysia.
Malah, katanya, pelabur runcit adalah pembeli bersih berjumlah RM13.84 bilion, lebih besar daripada institusi tempatan kepada RM10.41 bilion.
Sepanjang tahun lalu, pelabur asing melupuskan sebanyak RM24.75 bilion ekuiti tempatan di Bursa Malaysia.
Berbanding dengan tiga lagi pasaran Asia Tenggara yang lain, Thailand mencatatkan aliran masuk bersih paling tinggi sementara Indonesia dan Filipina mengalami aliran keluar. – MalaysiaGazette