Home Nasional Kematian Nora Anne disebabkan nahas, tiada siapa terlibat – Koroner

Kematian Nora Anne disebabkan nahas, tiada siapa terlibat – Koroner

Nora Anne Quoirin

SEREMBAN – Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian remaja perempuan Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin disebabkan nahas.

Koroner Maimoonah Aid dalam keputusan inkues remaja itu berkata selepas mendengar semua keterangan, beliau mendapati tiada siapa yang terlibat dalam kematiannya.

“Berkemungkinan besar dia mati kerana nahas iaitu dia keluar dari Sora House (chalet tempat dia dan keluarganya tinggal ketika mereka tiba di Malaysia pada 3 Ogos 2019) dengan sendiri dan kemudian hilang di ladang kelapa sawit terbiar.

“Bagi saya untuk membuat spekulasi dan menganggap penglibatan pihak ketiga tanpa fakta yang terbukti akan melanggar tugas saya. Oleh itu siasatan ini ditutup,” katanya.

Nora Anne, 15, didapati hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

— BERNAMA